SHAH ALAM, 7 NOV: Sebanyak 73 tan metrik sisa banjir dikeluarkan menerusi operasi pembersihan pasca banjir di beberapa kawasan terjejas termasuk Kampung Melayu Subang.
KDEB Waste Management (KDEBWM) memaklumkan operasi yang memasuki hari kelima itu turut meliputi Kampung Kubu Gajah, Merbau Sempak dan Kampung Paya Jaras.
Menurut agensi berkenaan, kerja pembersihan dilaksanakan sehingga hari ini bagi memastikan kawasan terjejas kembali bersih, selamat dan selesa untuk penduduk setempat.
“Pembersihan secara bersepadu ini melibatkan penggerakan 39 tong Roll-on Roll-off (RoRo), dibantu dengan dua unit tong RoRo tambahan berkapasiti 16CY serta kekuatan tenaga kerja seramai 60 orang.
“Operasi ini turut mendapat kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang menyediakan dua lori RoRo tambahan bagi mempertingkatkan keupayaan kerja pembersihan di lapangan,” kata KDEBWM menerusi Facebook.
KDEBWM memaklumkan akan terus komited dalam menyokong usaha pemulihan pasca banjir melalui penyelarasan aset, jentera dan tenaga kerja bersama pihak berkuasa tempatan demi memastikan kawasan terjejas dapat dipulihkan dengan segera.
Terdahulu, operasi diketuai Mohd Rizal Abd Karim selaku Ketua Operasi Shah Alam manakala MBSA pula diwakili Pengarah Jabatan Kebersihan Awam dan Kelestarian Sisanya, Haslina Ab Aziz.
Beberapa hari lalu, beberapa kawasan di Selangor dilanda banjir susulan hujan lebat termasuk sekitar Shah Alam dan Subang. Kampung Melayu Subang antara kawasan yang paling teruk terjejas.
Banjir kilat melanda Kampung Melayu Subang susulan hujan lebat dengan taburan sehingga 116.5 milimeter (mm) dalam tempoh kira-kira sejam, menyebabkan air sungai melimpah ke kawasan kediaman penduduk.
Kejadian itu menjejaskan kira-kira 92 rumah di empat kawasan iaitu Lorong Merbau (30 rumah), Jalan Cengal (tujuh), Jalan Resak (lima) dan Jalan Jati (50). Paras air dilaporkan mencecah sehingga satu meter di kawasan kediaman penduduk.











