Taburan hujan cecah 116mm punca banjir kilat di Kampung Melayu Subang

2 Nov 2026, 3:17 PM
Taburan hujan cecah 116mm punca banjir kilat di Kampung Melayu Subang
Taburan hujan cecah 116mm punca banjir kilat di Kampung Melayu Subang
Taburan hujan cecah 116mm punca banjir kilat di Kampung Melayu Subang
Taburan hujan cecah 116mm punca banjir kilat di Kampung Melayu Subang

SHAH ALAM, 2 NOV: Hujan lebat dengan taburan sehingga 116 milimeter (mm) mengakibatkan banjir kilat di Kampung Melayu Subang petang tadi, dengan paras air dilaporkan mencecah kedalaman satu meter di kawasan kediaman penduduk.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara, Izuan Kasim berkata hujan lebat kira-kira sejam itu jauh melebihi purata kadar biasa iaitu 80mm, sekali gus menyebabkan paras sungai meningkat dan melimpah ke kawasan kediaman penduduk.

“Hujan lebat jam 2 hingga 3 petang tadi sehingga menyebabkan kenaikan air sungai yang melampau. Kalau kita tengok, purata air hujan hari ini sehingga 116mm yang bermaksud sangat ekstrem.

“Malah air sungai juga melepasi tahap 18 meter (melepasi paras bahaya) dan menyebabkan air sungai melimpah ke kawasan perumahan dan sekali gus menjejaskan penduduk sekitar.

“Ini merupakan banjir yang paling teruk berbanding banjir kilat yang berlaku pada tiga minggu lepas,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara, Izuan Kasim.

Berdasarkan rekod Public Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), taburan hujan di Kampung Melayu Subang dilaporkan mencecah 116.5mm, menyamai purata taburan hujan selama tiga hari.

Dalam pada itu, Izuan berkata keadaan banjir kini beransur surut, dengan kebanyakan penduduk terjejas sedang membersihkan kediaman masing-masing.

Menurutnya, dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Siantan dan Dewan Resak Subang Perdana, dengan masing-masing menempatkan dua keluarga berdasarkan maklumat awal.

“Ada dua PPS yang dibuka tetapi banjir di Kampung Melayu Subang ini sifatnya tidak termenung. Dalam tempoh sejam sehingga dua jam itu, ia akan surut kembali.

“Jadi kebanyakan mangsa tidak mahu berpindah ke PPS. Tetapi saya dimaklumkan ada dua keluarga di PPS, kita sedang tunggu laporan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Keadaan banjir di Kampung Melayu Subang pada 2 November 2026 selepas air naik sehingga menenggelami kawasan sekitar. Foto Facebook

Terdahulu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata banjir kilat itu menjejaskan kira-kira 92 rumah di empat kawasan.

Kawasan terlibat ialah Lorong Merbau membabitkan 30 rumah, Jalan Cengal (tujuh), Jalan Resak (lima) dan Jalan Jati (50).

Menurutnya, lima anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong tiba di lokasi pada jam 5.33 petang selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 5.18 petang.

Kategoriadn

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.