Elak derita selepas kahwin, jangan minta hantaran luar kemampuan

8 Nov 2026, 12:00 PM
Elak derita selepas kahwin, jangan minta hantaran luar kemampuan
Elak derita selepas kahwin, jangan minta hantaran luar kemampuan

Pasangan yang bakal berkahwin dinasihati menetapkan nilai hantaran mengikut kemampuan supaya tidak menanggung hutang bertahun-tahun selepas mendirikan rumah tangga.

Pengarah Pusat Undang-Undang Keluarga & Konsultansi, Akademi Pengajian Islam, Universiti Teknologi Mara mengingatkan pemberian hantaran bukan kemestian termasuk dari segi syarak.

Ts Siti Fatahiyah Mahamood berkata perkahwinan sebenarnya permulaan kehidupan bersama, bukan bermula dengan beban kewangan akibat hantaran tinggi semata-mata mahu menjaga status sosial.

“Kita melihat seolah-olah pemberian hantaran ini seperti satu kemestian sedangkan ia hanyalah menyantuni adat semata-mata, bukan diwajibkan oleh agama.

“Perkara ini berlaku mungkin disebabkan oleh pihak keluarga yang ingin menjaga status sosial di mata masyarakat ataupun berdasarkan status pendidikan atau pekerjaan bakal isteri.

“Jangan sampai pasangan suami isteri yang sepatutnya menjadi raja sehari menderita bertahun-tahun kerana bebanan hutang akibat pemberian hantaran yang di luar kemampuan,” katanya.

Justeru, beliau berharap isu berkaitan nilai hantaran dalam kalangan masyarakat dapat diperbetul kerana pemberian berkenaan tidak diwajibkan dalam Islam.

Orang ramai mengunjungi Karnival Agensi Islam Selangor di Masjid Cahay Iman, Bandar Country Homes, Rawang pada 27 Jun 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Bina keserasian

Selain itu, Ts Siti Fatahiyah berkata pemilihan pasangan sekufu juga penting bagi memastikan perkahwinan bahagia selain memudahkan perjalanan hidup sebagai suami isteri.

Beliau menjelaskan sekufu berlaku dalam banyak aspek, bukan hanya persamaan status pendidikan sahaja tetapi corak gaya hidup dalam keluarga dan pengurusan kewangan serta jalur pemikiran.

“Sekufu juga boleh dilihat pada perbezaan yang boleh membawa keserasian. Contohnya apabila suami seorang pendiam, isterinya pula banyak bercakap.

“Sekufu tidak semestinya sama sepenuhnya tetapi cukup sekadar memudahkan perjalanan hidup sebagai suami isteri untuk sama-sama menerima kekuatan dan kelemahan masing-masing,” katanya.

Menurut Ts Siti Fatahiyah, pasangan juga perlu memberi masa antara satu sama lain untuk menyesuaikan diri selain bersikap toleransi dan merai perbezaan dalam kehidupan rumah tangga.

“Sentiasa berkomunikasi dengan penuh keikhlasan, menerima segala kelemahan dan kelebihan pasangan kerana kita tahu tidak semua orang itu sempurna.

“Perkahwinan adalah bukan mencari kesempurnaan, tetapi sama-sama berusaha dengan penuh keikhlasan dan kasih sayang untuk membina kesempurnaan tersebut,” katanya lagi.

Beliau turut menasihati masyarakat, khususnya pasangan muda, supaya tidak membandingkan kebahagiaan orang lain dengan kehidupan sendiri.

“Rai perbezaan, jangan cepat lelah dengan perbezaan fitrah suami isteri. Sama-sama berusaha untuk saling melengkapi dan saling membina kesempurnaan yang membahagiakan,” katanya.

Norpalila Mohd Noor

Timba ilmu kekeluargaan kukuhkan hubungan

Setiap pasangan perlu saling menggalakkan antara satu sama lain untuk menambah pengetahuan berkaitan terutama perihal kekeluargaan bagi memperkukuh rumah tangga.

Kakitangan awam Norpalila Mohd Noor, 45, berkata ilmu itu boleh diperoleh dengan mengunjungi karnival atau program tertentu yang boleh dipraktik dalam kehidupan berkeluarga.

"Saya menggalakkan suami sama-sama mencari ilmu terutama berkaitan rumah tangga. Kadang-kadang kita belajar daripada perkongsian orang lain atau maklumat di reruai dan ia boleh dipraktikkan dalam keluarga kita," katanya.

Beliau yang ditemui dalam Karnival Agensi Islam Selangor di Rawang baru-baru ini, berkata pencarian ilmu tidak terhad melalui kelas formal, sebaliknya pameran atau risalah.

Norpalila turut menggalakkan anaknya menyertai pelbagai program dan pertandingan yang diadakan berikutan kemahiran itu mampu membina keyakinan diri selain menambah pengalaman.

Pengunjung Jamshed Ibraheem Md Hussain

Suaminya, Jamshed Ibraheem Md Hussain, 50, pula berkata beliau memperoleh pengetahuan baharu antaranya berkaitan kad ibu susuan atau MyRadha'ah dalam karnival anjuran Kerajaan Selangor.

"Benda pertama yang saya belajar hari ini ialah kad untuk rekod penyusuan yang diperkenal di Selangor yang mana sebelum ini saya tidak pernah tahu kewujudannya.

"Tak tahu, tanya. Datang ke sini (Karnival Agensi Islam) contohnya, kita dapat banyak maklumat mengenai kekeluargaan dan perkara-perkara lain yang bermanfaat," katanya.

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.