Perkahwinan bukan perihal perlumbaan berkait soal siapa cepat atau lambat, bertemu jodoh pada usia muda atau ketika umur sudah menginjak senja.
Sebaliknya, kesediaan menyimpul ikatan suci diukur dengan kematangan dalam memikul amanah dan tanggungjawab sebagai suami mahupun isteri.
Bagi kaunselor rumah tangga Aiman Azlan, seseorang tidak harus terikat dengan persoalan ‘cukup umur atau belum’ tetapi ia dinilai berdasarkan kesediaan mengatur kehidupan dan tanggungjawab.
“Tanda kematangan ialah apabila seseorang dapat memikul tanggungjawab dengan amanah. Contohnya, apabila diberikan tugas, dia mampu melaksanakannya dengan baik.
“Dalam pekerjaan, dia bertanggungjawab terhadap tugasnya, manakala dalam keluarga pula, dia faham amanah untuk menjaga pasangan dan anak,” katanya yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam dunia kaunseling.
Kematangan pula bukan bersandarkan usia semata-mata.
Ada individu mungkin berusia belasan tahun tetapi berdisiplin, mampu urus diri dan bertanggungjawab.
Tidak kurang juga ada individu yang lebih berusia tetapi belum bersedia memikul amanah sedemikian.
Perlu diingat, keputusan untuk berkahwin tidak harus dibuat semata-mata mahu menyelesaikan masalah jangka pendek seperti tekanan keluarga atau melihat rakan-rakan terdekat naik pelamin.
Penyatuan dua jiwa adalah keputusan jangka panjang yang tidak wajar dipengaruhi desakan orang sekeliling mahupun sekadar mengikut arus semasa atau ‘fear of missing out’ (FOMO).
Bagi Aiman, perkahwinan yang dijadikan penyelesaian jangka pendek boleh membawa mudarat lebih besar kerana perkahwinan adalah ibadah paling lama yang perlu dilalui.
“Ramai orang berkahwin kerana melihat kawan sudah kahwin, kemudian rasa dirinya pula belum berkahwin. Itupun satu bentuk trend yang dipanggil FOMO.
“Trend bukan semestinya apa yang kita nampak di media sosial. Ia juga boleh berlaku dalam kelompok kawan atau persekitaran sendiri apabila kita melihat semua orang sudah berkeluarga,” katanya.

Sunyi bukan alasan
Mahu hilangkan rasa sunyi sering dijadikan alasan sesetengah pihak untuk berkahwin. Perasaan itu memang nyata dan menyakitkan tetapi perkahwinan bukan penyelesaian mutlak.
Kesunyian sebenarnya akibat kurangnya hubungan bermakna bagi segelintir individu yang menjurus kepada rasa bosan hidup berseorangan. Lebih membimbangkan, ada yang tetap berasa sunyi walau bertahun-tahun melayari bahtera rumah tangga dan ada anak.
Bercakap soal komunikasi yang menjadi tunjang utama perhubungan, Aiman menegaskan, wadah itu ibarat oksigen dalam dunia perkahwinan tetapi hubungan tanpa komunikasi yang baik boleh membawa kepada ‘mati’.
Komunikasi bukan sekadar bercakap. Ia menyentuh perihal mendengar dengan mendalam, memahami, membina hubungan dan mewujudkan ikatan antara satu sama lain.
Bagi mengelakkan diri dikongkong ego, pasangan juga perlu menyediakan ruang berunding kerana perbezaan pendapat mustahil boleh dielak dalam kehidupan berumah tangga. Kegagalan berkomunikasi bukan sahaja boleh menjejaskan hubungan suami isteri, malah menjejaskan anak.
“Ada anak yang menghubungi saya dan berkongsi mengenai keadaan ibu bapanya yang tidak tidur sebilik. Mereka mungkin tidak bercerai, tetapi anak tetap melihat dan merasai apa yang berlaku.
“Kesan itu boleh dibawa oleh anak sehingga dewasa. Ada klien saya yang memberitahu mereka takut berkahwin kerana melihat ibu bapa mereka melalui pengalaman rumah tangga yang buruk,” katanya yang turut menjalankan sesi kaunseling dalam talian.
Beliau berpendapat, setiap individu dewasa perlu mempelajari cara mengurus konflik, bukan hanya selepas berkahwin. Konflik tidak boleh dielak. Kita akan berdepan konflik dengan keluarga, rakan, pensyarah atau rakan sekerja.
“Sebelum berkahwin pun kita sebenarnya sudah ada banyak peluang untuk belajar bagaimana mengurus konflik. Ia kemahiran untuk kehidupan sebagai orang dewasa, bukan khusus untuk perkahwinan sahaja,” katanya.
Bagi menilai tahap persediaan sebelum berkahwin, Aiman sering menggunakan tiga pendekatan utama iaitu kepimpinan, kewangan dan komunikasi atau 3K.
Beliau merujuk aspek kepimpinan kepada keupayaan seseorang dalam mengurus kehidupan diri sendiri.
“Kalau kehidupan sendiri pun serabut, tiada jadual, tiada disiplin dan tidak terurus, itu sesuatu yang perlu diberi perhatian. Sebelum kita mengurus orang lain, kita kena belajar mengurus diri sendiri dahulu,” katanya.
Dalam perhubungan juga, aspek kewangan perlu diberi perhatian oleh lelaki atau wanita kerana perkahwinan membawa tanggungjawab mengurus kehidupan dan perbelanjaan bersama.
Pasangan juga perlu ada asas celik kewangan termasuk mengetahui jumlah perbelanjaan, mengurus hutang dan memahami kemampuan diri.
“Bukan bermaksud kena kaya baru boleh berkahwin. Tetapi kita perlu ada disiplin kewangan dan tahu apa yang kita mampu serta apa yang perlu dielak.”








