Ronaldo, Georgina bakal berkahwin esok? Spekulasi kembali hangat

31 Jul 2026, 12:33 AM
Ronaldo, Georgina bakal berkahwin esok? Spekulasi kembali hangat

ROME, 31 JULAI: Bekas bintang Manchester United Cristiano Ronaldo dan pasangannya, Georgina Rodríguez, dilaporkan bakal melangsungkan perkahwinan pada Sabtu ini di Quinta da Regaleira, sebuah istana bersejarah di Sintra, Portugal.

Laporan media hiburan Portugal mendakwa majlis berkenaan akan berlangsung pada 1 Ogos, malah beberapa gambar yang didakwa memaparkan pasangan pengantin serta kad jemputan turut tersebar di media sosial.

Kad jemputan yang tular itu menyatakan majlis dijadual bermula pada jam 5 petang dengan kod pakaian Black Tie Formal, iaitu tuksedo hitam atau biru gelap bersama tali leher hitam bagi lelaki, manakala wanita diminta mengenakan gaun labuh atau pakaian malam rasmi.

Dakwaan itu bagaimanapun dipersoalkan beberapa media di Sepanyol yang menyifatkannya sebagai tidak berasas.

Pada masa sama, badan pengurusan Quinta da Regaleira enggan mengulas mengenai dakwaan tersebut, sekali gus terus mencetuskan spekulasi mengenai lokasi perkahwinan pasangan berkenaan.

Sebelum ini, Ronaldo pernah mendedahkan dalam temu bual bersama Piers Morgan bahawa beliau dan Georgina merancang untuk berkahwin selepas berakhirnya Piala Dunia, namun tidak pernah menyatakan tarikh atau lokasi majlis itu.

Sebelum perhatian beralih ke Sintra, timbul khabar angin bahawa pasangan itu akan memilih Madeira, kampung halaman Ronaldo di Portugal, sebagai lokasi perkahwinan mereka.

Ronaldo dan Georgina mula menjalinkan hubungan pada 2016 ketika model itu bekerja di sebuah butik Gucci di Madrid.

Bintang Portugal itu melamar Georgina pada Ogos tahun lalu.

Sehingga kini, kedua-duanya masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung laporan yang tular itu.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.