Masih di bawah bumbung yang sama, makan di meja yang sama, juga mungkin lena di ranjang bersama. Tetapi hakikatnya, kedua-duanya tidak lagi benar-benar ‘hidup’ bersama.
Meski semua tampak indah di luar, suasana itu antara tanda awal keretakan. Suami isteri beransur-ansur hilang hubungan emosi, masing-masing cenderung hanyut dalam dunia sendiri.
Menurut perunding rumah tangga Mohd Izary Muhammed Ikhbal, keretakan rumah tangga jarang berlaku tiba-tiba, sebaliknya bermula isu kecil yang dibiar berlarutan tanpa penyelesaian.
“Antara tanda paling awal ialah apabila pasangan mula berhenti berusaha untuk memahami satu sama lain. Dulu apabila ada masalah, kita mahu selesaikan. Sekarang sudah tidak kesah.
"Dulu kita bergaduh sebab kita masih peduli, lama-lama kita memilih untuk diam kerana rasa, ‘tak guna cakap pun’,” katanya kepada Media Selangor.
Keadaan menjadi lebih sukar apabila pasangan mula melihat antara satu sama lain sebagai pihak lawan, bukan lagi sebagai satu pasukan. Persoalan berubah daripada ‘bagaimana kita hendak selesaikan masalah ini bersama-sama?’ kepada ‘awaklah puncanya’.
Hubungan sedemikian sebenarnya berada di landasan tidak sihat.
Jarang satu masalah besar menjadi punca pasangan sampai ke tahap itu sebaliknya ia bermula daripada perkara kecil yang tidak pernah selesai. Kes sama berulang. Akhirnya menimbulkan kecewa membuak-buak, lalu perlahan-lahan dendam bertunas dalam diam.
“Satu perkara mungkin nampak kecil, tetapi apabila berlaku berkali-kali dan tidak pernah benar-benar diselesaikan, ia akan menghasilkan ‘resentment’ (terkilan).
“Kadang-kadang masalah sebenar bukan perkara yang pasangan sedang bergaduh hari ini tetapi masalah sebenar ialah semua perkara yang mereka tidak pernah selesaikan sebelum ini,” kata Mohd Izary.
Komunikasi yang tidak selesai, masalah kewangan, hubungan intim, isu anak-anak, campur tangan keluarga, masalah kepercayaan dan pengabaian emosi antara faktor yang meretakkan hubungan.

Komunikasi
Kebanyakan mereka bukan tidak berbincang tetapi tiada berkomunikasi baik termasuk 'menyerang' pasangan. Ada beza besar antara meluahkan perasaan terhadap tingkah laku dengan menyerang pasangan.
“Daripada berkata, ‘Bila awak buat macam ini, saya rasa terluka’, mereka memilih berkata, ‘Awak memang selfish (pentingkan diri)’. Satu pihak bercakap tentang tingkah laku, manakala satu lagi pihak menyerang identiti.
“Bila kita serang identiti pasangan, ia masuk dalam keadaan ‘defensive’ (mempertahan). Akhirnya perbualan bukan lagi untuk menyelesaikan masalah, tetapi menentukan siapa betul dan siapa salah.
"Keadaan bertambah buruk apabila pasangan hanya mendengar untuk membalas, bukannya untuk memahami," katanya yang dikenali sebagai coach cerai dan berpengalaman menguruskan kes membabitkan selebriti terkenal.
Dalam isu kewangan, isu berkenaan sebenarnya bukan soal wang ringgit semata-mata tetapi ia menyentuh soal kepercayaan, tanggungjawab, keselamatan dan kuasa dalam perhubungan.
Pergaduhan mengenai hutang mungkin kelihatan seperti isu kewangan, tetapi jika dirungkai, wujud persoalan lebih besar seperti mengapa keputusan dibuat tanpa berbincang dengan pasangan.
Faktor rahsia kewangan antara perkara tidak sihat dalam rumah tangga kerana ia mengakibatkan seseorang berasa diri memikul terlalu banyak beban atau berasa sumbangannya tidak dihargai.
“Menyembunyikan hutang, pendapatan, perbelanjaan atau komitmen kewangan boleh menyebabkan kepercayaan mula terhakis.
"Sebab itu pasangan perlu ada ketelusan kewangan. Tetapi ketelusan tidak bermaksud kedua-duanya perlu mengurus duit dengan cara yang sama,” katanya lagi.
Dalam memupuk kebahagian, campur tangan keluarga tidak kira belah suami atau isteri perlu dielak dan diurus secara matang bagi mengelakkan ketegangan yang mendorong kepada perceraian.
Prinsip penting adalah pasangan tidak harus dipaksa memilih antara suami atau isteri dengan keluarga sebaliknya kedua-dua pihak bersetuju mengenai penetapan batas terlebih dahulu.
Menurut Mohd Izary, bukan semua perkara boleh dibincang secara terbuka kepada keluarga. Malah, dalam kebanyakan situasi ia sewajarnya kekal dalam lingkungan suami isteri.
"Jika membabitkan keluarga sebelah suami, sebaik-baiknya suami yang berkomunikasi dengan keluarganya. Begitu juga isteri dengan keluarganya.
“Batas yang sihat lebih mudah diterima apabila datang daripada kasih sayang dan kejelasan, bukan kemarahan dan rasa kecewa,” katanya lagi.
Hal kerjaya juga kerap menjadi alasan hubungan kian renggang. Ramai tidak sedar, masalah sebenar bukan semata-mata isu kesibukan tetapi apabila pasangan mula berasa dirinya bukan lagi keutamaan.
“Kalau seseorang boleh menghabiskan 10 jam sehari membina kerjaya tetapi tidak meluangkan 30 minit sehari untuk benar-benar berhubung dengan pasangan, lama-kelamaan pasangan akan rasa diabai,” katanya.
Perkahwinan menuntut kedua-dua pihak meluangkan masa, perhatian dan kesungguhan. Pengabaian terhadap tiga rukun itu menunjukkan ada pihak mengambil mudah terhadap rumah tangga sendiri.
Ramai pasangan mula mengambil serius mengenai perkahwinan apabila hubungan pada tahap runcing sedangkan kemahiran mengurus hubungan harus dipelajari lebih awal termasuk sebelum berkahwin.
“Kita tidak tunggu kereta rosak baru mahu servis. Hubungan pun sama. Kita patut belajar kemahiran dalam hubungan sebelum perkahwinan menjadi satu krisis,” kata Mohd Izary.
Dalam menangani konflik rumah tangga, beliau turut mengingatkan pasangan supaya tidak cepat mencari siapa bersalah. Sebaliknya kedua-dua pihak wajar bermuhasabah dan menilai hal perlu diperbaiki supaya cinta yang terjalin terus mencambah bahagia hingga ke akhir hayat.







