Lazimnya, majlis perkahwinan sarat atur cara hingga pengantin tiada kelapangan masa untuk beramah mesra dengan setiap tetamu.
Ada hanya sempat bersalaman, bergambar sebentar sebelum beredar. Tidak kurang juga pulang tanpa sempat bertemu raja sehari.
Pengalaman itu mendorong sepasang pengantin memilih konsep perkahwinan waktu pagi. Bukan sekadar membawa kelainan tetapi mencipta lebih ruang dalam menikmati hari istimewa bersama ahli keluarga dan sahabat taulan.
Bermula seawal jam 8 pagi pada 2 Ogos lalu, majlis berkenaan menghimpun kira-kira 200 tetamu dalam suasana santai tanpa terikat dengan jadual atur cara.
Ada hadir dengan pakaian separa kasual, malah sebahagiannya singgah selepas selesai beriadah sebelum menikmati hidangan sarapan sambil merai pasangan mempelai.
Nurul Azreen Che Yan Rosli, 30, dan suami Muhammad Nor Hakim Mohd Fuhad, 27, mahu merasai sendiri pengalaman sebagai pengantin dalam majlis yang berbeza daripada kebiasaan.
Selepas enam tahun berkecimpung dalam industri perkahwinan, Nurul Azreen kerap melihat pasangan pengantin sibuk memenuhi jadual hingga masa bersama tetamu sangat terbatas.
Pengalaman ketika majlis merisik dan akad nikah yang diadakan pada sebelah petang dan malam tambah menguatkan keinginan mereka untuk mencuba pendekatan berbeza.
“Memang mahu buat kelainan. Sebelum ini majlis merisik dan nikah sudah dibuat waktu petang dan malam, jadi kali ini kami pilih waktu pagi.
“Kami mahu menggunakan masa sepenuhnya untuk melayan tetamu kerana sebelum ini ada yang datang ketika majlis nikah tetapi kami tidak sempat berjumpa atau bergambar dengan mereka,” katanya kepada Media Selangor.

Susun atur
Bagi memastikan hasrat berkenaan tercapai, Nurul Azreen dan suami memberi perhatian kepada susun atur ruang majlis, termasuk meletak pelamin berhampiran laluan masuk.
Kedudukan tersebut memudahkan mereka melihat kehadiran tetamu, menyambut kedatangan dan bertegur sapa tanpa perlu banyak bergerak dari satu meja ke meja lain.
Muhammad Nor Hakim mengakui susunan itu memberikannya kepuasan kerana berpeluang bertemu hampir semua tetamu dalam suasana mesra.
“Memang rasa puas sebab dapat jumpa semua tetamu. Kami tidak perlu pergi ke setiap meja untuk mencari mereka kerana suasana majlis lebih santai.
“Pelamin juga kami letak di bahagian hadapan berhampiran pagar supaya apabila tetamu datang, kami boleh nampak dan menyambut mereka,” katanya.
Kelainan juga terserlah melalui hidangan. Nasi dagang, nasi lemak, bihun, cucur udang dan kuih-muih menjadi pilihan menggantikan menu yang lazim dihidang dalam kenduri perkahwinan. Makanan disediakan secara bufet dan pek untuk dibawa pulang. Ada juga tetamu menikmati juadah kali kedua.

Menurut Nurul Azreen, pemilihan menu sarapan sebahagian usaha mewujudkan pengalaman berbeza, sesuai mengikut waktu dan suasana majlis. Pasangan itu juga tidak menetapkan tema pakaian bagi memudahkan tetamu mengikut keselesaan masing-masing.
“Ada yang datang dengan pakaian separa kasual, ada juga yang datang dengan pakaian sukan kerana baru selesai bersukan di awal pagi.
“Kami memang tidak tetapkan tema kerana mahu tetamu rasa lebih selesa dan menikmati majlis tanpa terlalu memikirkan soal pakaian,” katanya.
Keinginan mewujudkan suasana santai turut diterjemah melalui keputusan untuk tidak mengadakan acara memotong kek, menggunakan pengacara majlis atau menyediakan cenderahati kepada tetamu.
Raptai juga tidak dilakukan kerana pasangan itu mahu mengurangkan pengisian yang dirasakan tidak perlu. Sebagai perancang perkahwinan, Nurul Azreen melihat keputusan itu bukan semata-mata penjimatan, tetapi kesesuaian dengan bentuk sambutan.
“Bila kita selalu menguruskan majlis orang lain, kita nampak dari sudut pengurusan. Jadi, kali ini saya mahu rasa sendiri bagaimana pengalaman pengantin apabila memilih konsep seperti ini.






