Cristiano Ronaldo umum bersara daripada skuad Portugal

5 Nov 2026, 12:31 PM
Cristiano Ronaldo umum bersara daripada skuad Portugal
Cristiano Ronaldo umum bersara daripada skuad Portugal

BERLIN, 5 NOV: Cristiano Ronaldo mengumumkan persaraannya daripada skuad kebangsaan Portugal berkuat kuasa serta-merta, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) yang memetik hantaran bintang bola sepak berusia 41 tahun itu di media sosial pada Khamis.

Penyerang itu meninggalkan skuad kebangsaan ketika rehat antarabangsa lalu susulan pertikaian dengan jurulatih Jorge Jesus mengenai masa bermain.

Beliau dikenakan penggantungan selama 30 hari oleh Persekutuan Bola Sepak Portugal, namun sebelum ini dijangka kembali menyertai skuad bagi perlawanan Liga Negara-Negara UEFA pada November.

Bagaimanapun, Ronaldo kini memutuskan untuk menamatkan kerjaya antarabangsanya selepas mencipta rekod sebagai penjaring terbanyak bola sepak antarabangsa lelaki dengan 146 gol.

"Kepada rakyat Portugal, sudah tiba masanya untuk saya menyerahkan semula jersi nombor tujuh pasukan kebangsaan kita," katanya menerusi satu video.

Ronaldo bagaimanapun akan terus beraksi bersama kelab Arab Saudi, Al Nassr, dalam usahanya mencapai 1,000 gol sepanjang kerjaya.

Beliau sebelum ini pernah membayangkan kemungkinan bersara sepenuhnya daripada bola sepak pada tahun depan.

-- BERNAMA-dpa

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.