ARLINGTON, 7 JULAI: Trofi Piala Dunia kekal menjadi satu-satunya gelaran utama yang tidak pernah berjaya dimiliki Cristiano Ronaldo apabila perjalanan Portugal dalam edisi 2026 berakhir di pusingan 16 terbaik.
Kekalahan 0-1 kepada Sepanyol hasil jaringan Mikel Merino pada minit ke-91 bukan sahaja menamatkan kempen Portugal, malah menjadi penutup kepada penampilan terakhir Ronaldo di pentas Piala Dunia selepas enam edisi sejak 2006.
Sehari sebelum perlawanan, penyerang berusia 41 tahun itu mengesahkan Piala Dunia 2026 adalah penampilan terakhirnya di kejohanan berprestij tersebut, sambil menegaskan beliau tidak menyimpan sebarang penyesalan terhadap perjalanan kariernya yang menjangkau lebih dua dekad.
Jurulatih Portugal, Roberto Martinez menyifatkan Ronaldo sebagai ikon bola sepak yang meninggalkan legasi luar biasa, selain menjadi contoh kepimpinan sepanjang kejohanan.
"Kami akan sentiasa berterima kasih atas segala usaha yang dilakukannya di Piala Dunia ini. Impiannya adalah untuk menjulang trofi dan dia berjuang dengan menunjukkan contoh kepimpinan yang luar biasa sebagai kapten.
"Ini bukan masanya untuk bercakap mengenai perkara lain. Dia adalah ikon bola sepak. Tidak ramai pemain seperti Cristiano Ronaldo," katanya.
Sepanjang enam penampilan di Piala Dunia, Ronaldo merekodkan 27 penampilan dengan 11 gol. Satu-satunya jaringan pada pusingan kalah mati hadir dalam edisi kali ini ketika membantu Portugal menewaskan Croatia pada pusingan 32 terbaik.
Pencapaian terbaiknya di kejohanan itu kekal ketika membantu Portugal mara ke separuh akhir Piala Dunia 2006 di Jerman.
Ketika berusia 21 tahun, beliau menjaringkan penalti kemenangan ke atas England pada suku akhir sebelum Portugal tewas kepada Perancis di separuh akhir.
Walaupun mengumpul pelbagai kejuaraan sepanjang karier, termasuk di peringkat kelab dan antarabangsa, trofi Piala Dunia terus menjadi impian yang tidak kesampaian buat Ronaldo.
Berbeza dengan Lionel Messi yang melengkapkan kariernya dengan menjulang trofi itu bersama Argentina pada 2022, perjalanan Ronaldo di pentas Piala Dunia berakhir tanpa gelaran.
Jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente turut memberikan penghormatan kepada pemain berkenaan dengan menyifatkannya sebagai teladan kepada generasi baharu bola sepak.
"Saya amat mengaguminya, nilai yang dibawanya dan cara dia mendekati sukan ini. Dia adalah contoh terbaik buat pemain muda. Setiap kali kami bertemu, kami saling menghormati dan berbangga dapat mengenalinya," katanya.
Meskipun gagal merealisasikan impian menjulang Piala Dunia, Ronaldo tetap meninggalkan legasi sebagai antara pemain paling berpengaruh dalam sejarah bola sepak, dengan rekod dan sumbangannya terus menjadi rujukan generasi akan datang.







