MANCHESTER, 4 JUN: Rumah yang pernah didiami Cristiano Ronaldo ketika beraksi bersama Manchester United kini dibuka untuk jualan pada harga AS$6.6 juta (RM27.9 juta).
Kediaman yang terletak di Cheshire berhampiran Manchester itu dibina di atas tanah seluas 9.3 hektar serta dilengkapi pelbagai kemudahan bertaraf mewah.
Antara kemudahan yang disediakan ialah kolam renang tertutup, pawagam persendirian, bilik simpanan wain, gimnasium, gelanggang padel dan ruang khas untuk menerima tetamu.
Bahagian belakang rumah dihiasi landskap indah dengan teres batu yang luas, beberapa ruang santai serta ruang makan terbuka yang sesuai untuk menikmati hidangan bersama keluarga dan rakan.

Taman yang dijaga rapi mengelilingi kolam hiasan lengkap dengan air terjun kecil, sekali gus mewujudkan suasana tenang dan eksklusif.
Rumah itu turut dilengkapi tingkap kaca dari lantai hingga siling yang membolehkan cahaya semula jadi menerangi setiap ruang, selain menghubungkan bahagian dalam dan luar kediaman secara harmoni.
Reka bentuknya menggabungkan elemen batu, bata dan kaca yang menyerlahkan seni bina moden, di samping menawarkan tahap privasi serta keselesaan kepada pemilik.

Hiasan dalaman pula diserikan dengan karya seni berwarna-warni, manakala konsep terbuka menghubungkan ruang dapur, ruang tamu dan ruang makan bagi mewujudkan suasana yang lebih luas.
Dapur moden berkenaan dilengkapi pulau dapur bersaiz besar, kabinet kayu, dinding batu hiasan serta sistem pencahayaan terbina dalam yang menyerlahkan suasana elegan, terutama pada waktu malam.
Gabungan reka bentuk kontemporari, fungsi praktikal dan kemasan premium menjadikan kediaman itu bukan sahaja sesuai untuk kehidupan harian, malah ideal sebagai lokasi menerima tetamu atau menganjurkan majlis.







