Deepavali: Cadangan waktu perjalanan KLK, LPT1 pada 7 dan 9 November

5 Nov 2026, 6:31 AM
Deepavali: Cadangan waktu perjalanan KLK, LPT1 pada 7 dan 9 November

SHAH ALAM, 5 NOV: Pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), AFA Prime Berhad (AFA Prime), mengeluarkan cadangan waktu perjalanan kepada pengguna lebuh raya berkenaan pada 7 dan 9 November ini sempena sambutan Deepavali Ahad ini.

Menurut kenyataan AFA Prime, pengguna yang memulakan perjalanan dari Kuala Lumpur menerusi Plaza Tol Gombak pada 7 November boleh memilih dua jadual perjalanan mengikut destinasi masing-masing.

Bagi perjalanan ke Pahang, pengguna disaran memasuki plaza tol berkenaan antara jam 12 tengah hari hingga 4 petang atau 8 malam hingga 11 malam.

Pengguna yang menuju ke Terengganu pula dicadangkan memulakan perjalanan antara jam 9 pagi hingga 12 tengah hari atau 8 malam hingga 11 malam, manakala ke Kelantan antara jam 6 pagi hingga 9 pagi atau 5 petang hingga 8 malam.

Sebagai pilihan kedua, pengguna yang menuju ke Pahang dan Terengganu boleh memulakan perjalanan antara jam 8 malam hingga 11 malam, manakala ke Kelantan antara jam 5 petang hingga 8 malam.

Bagi perjalanan menghala ke Kuala Lumpur pada 9 November, AFA Prime mencadangkan pengguna dari Pahang memulakan perjalanan antara jam 7 pagi hingga 10 pagi, Terengganu (10 pagi hingga 1 petang) dan Kelantan (4 petang hingga 8 malam).

Pilihan kedua pula ialah antara jam 7 malam hingga 11 malam bagi pengguna dari Pahang, 8 malam hingga 10 malam dari Terengganu dan 9 malam hingga 12 tengah malam dari Kelantan.

"Kenderaan ringan disaran mengelakkan Plaza Tol Gombak pada waktu perjalanan bas ekspres ke Pantai Timur, iaitu antara jam 9.30 pagi hingga 12 tengah hari dan 9.30 malam hingga 12 tengah malam," menurut kenyataan itu.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.