Diskaun tol 50 peratus 6 dan 7 November sempena Deepavali

5 Nov 2026, 4:25 AM
Diskaun tol 50 peratus 6 dan 7 November sempena Deepavali

KUALA LUMPUR, 5 NOV: Kerajaan mengumumkan pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus daripada kadar biasa bagi tempoh dua hari, mulai 6 hingga 7 Nov bersempena dengan sambutan perayaan Deepavali, Ahad ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam kenyataan hari ini berkata pelaksanaan diskaun itu akan bermula pada 12 tengah malam Jumaat dan berakhir pada 11.59 malam keesokannya.

Beliau berkata pemberian diskaun tol itu dianggarkan melibatkan bayaran pampasan sebanyak RM20.11 juta kepada syarikat konsesi lebuh raya yang terlibat dan akan ditanggung oleh kerajaan, tertakluk pada pengesahan data trafik.

Inisiatif itu melibatkan kenderaan persendirian Kelas 1 di semua plaza tol serta Kelas 2 bagi Jambatan Pulau Pinang, namun dikecualikan di plaza tol sempadan negara, iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang (TTK), serta Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia–Singapura (LINKEDUA).

“Keputusan ini mencerminkan keprihatinan dan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memelihara kebajikan serta kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan kepercayaan, di samping memperkukuh semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.

“Inisiatif ini diharap dapat membantu meringankan kos perjalanan rakyat, khususnya masyarakat beragama Hindu yang pulang ke kampung halaman atau menziarahi ahli keluarga bagi meraikan sambutan Deepavali, sekali gus memaknai semangat perayaan melalui hubungan kekeluargaan dan kebersamaan,” katanya.

Nanta berkata Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan menyelaras pelaksanaan pemberian diskaun itu bersama-sama syarikat konsesi lebuh raya yang terlibat bagi memastikan kelancaran pelaksanaan serta manfaatnya dapat dinikmati oleh pengguna lebuh raya yang layak.

Beliau turut menasihati pengguna lebuh raya untuk memanfaatkan pemberian diskaun itu dan merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas termasuk memastikan baki kad Touch ’n Go atau eWallet mencukupi, mematuhi had laju, menjaga jarak selamat antara kenderaan serta berehat secukupnya bagi mengelakkan keletihan ketika memandu.

Selain itu, pengguna digalakkan menyemak maklumat trafik semasa serta sebarang kejadian di lebuh raya melalui saluran rasmi LLM bagi mendapatkan maklumat terkini dan merancang perjalanan dengan lebih teratur.

Beliau berkata kerjasama semua pengguna jalan raya dalam mengamalkan pemanduan berhemah amat penting bagi memastikan perjalanan sepanjang musim perayaan berjalan lancar, selamat dan selesa.

“KKR mengucapkan Selamat Menyambut Hari Deepavali 2026 kepada seluruh masyarakat beragama Hindu. Semoga perayaan cahaya ini membawa sinar kebahagiaan, kesejahteraan dan keharmonian kepada semua, di samping terus memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Utamakan keselamatan dan semoga semua pengguna jalan raya selamat sampai ke destinasi,” katanya.

-- BERNAMA

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.