SHAH ALAM, 5 NOV: Bantuan e-baucer RM150 sempena Deepavali membantu meringankan beban keluarga berpendapatan rendah membuat persiapan perayaan, khususnya ketika berdepan peningkatan kos sara hidup.
Penerima, M Mohitha berkata bantuan itu amat bermakna memandangkan beliau merupakan sumber utama pendapatan keluarga.
“Saya kumpul duit sedikit demi sedikit untuk Deepavali dan bantuan ini dapat mengurangkan beban membeli barangan dapur,” katanya.

Menurutnya, pemberian bantuan dalam bentuk baucer lebih praktikal kerana penerima bebas memilih barangan mengikut keperluan keluarga berbanding menerima sumbangan barangan yang mungkin tidak digunakan.
“Sistem e-baucer dapat mengelakkan pembaziran kerana setiap keluarga mempunyai keperluan berbeza, termasuk jenis makanan dan barangan dapur,” katanya.
Beliau ditemui pada program KPS Berhad Food Box Contribution – “Glow of Light”: Deepavali 2026 di Lotus's Bukit Tinggi, di sini, hari ini.
Menerusi program itu, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS Berhad) menyumbangkan bantuan berjumlah RM22,500 dalam bentuk e-baucer menerusi GoBarakah kepada 150 keluarga daripada masyarakat India, Cina dan Melayu.

Bagi R Renuga, bantuan itu amat dihargai memandangkan kos menyambut Deepavali semakin mencabar, terutama bagi keluarga besar berpendapatan rendah.
“Ekonomi sekarang susah sedikit, lebih-lebih lagi bagi keluarga B40 seperti saya yang mempunyai tujuh orang anak.
“Dapat RM150 ini pun sudah bersyukur kerana sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan kos perbelanjaan,” katanya.

Sementara itu, suri rumah, Hairiah Ramli berkata penggunaan baucer membolehkan penerima membeli barangan yang benar-benar diperlukan sekali gus mengelakkan pembaziran.
“Kadangkala barangan yang diterima sebelum ini tidak digunakan sehingga tamat tempoh.
“Apabila diberikan baucer, kita boleh membeli mengikut keperluan yang sesuai untuk keluarga,” katanya.

Seorang lagi penerima, Hairani Mokhtar berkata proses menggunakan baucer itu mudah dan tidak menyukarkan penerima ketika membuat pembayaran.
“Saya berterima kasih kepada KPS Berhad dan GoBarakah atas sumbangan ini kerana dapat menambah keperluan barangan untuk keluarga,” katanya.










