KLANG, 5 NOV: Seramai 150 keluarga berpendapatan rendah (B40) daripada pelbagai kaum menerima bantuan makanan bernilai keseluruhan RM22,500 menerusi program anjuran Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS Berhad) Food Box Contribution - "Glow of Light: Deepavali 2026 di Lotus's Bukit Tinggi sempena sambutan Deepavali 2026.
Sumbangan itu disalurkan melalui dalam bentuk wang tunai sebelum ditukarkan kepada e-baucar bagi membolehkan penerima membeli sendiri barangan mengikut keperluan.
Ketua Pegawai Kelestarian KPS Berhad, Zul Mawardi berkata pendekatan itu dipilih bagi memastikan bantuan yang disalurkan memenuhi keperluan sebenar setiap keluarga, sekali gus mengelakkan pembaziran.
Menurutnya pemberian kotak makanan secara konvensional berisiko menyebabkan penerima mendapat barangan yang tidak sesuai dengan keperluan mereka.
“Sebagai contoh, terdapat bantuan makanan yang mengandungi gula sedangkan penerima mempunyai masalah diabetes, malah ada juga barangan yang hampir tamat tempoh.
"Justeru penggunaan e-baucar membolehkan penerima mendapatkan barangan lebih segar mengikut pilihan masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program KPS Berhad Food Box Contribution - “Glow of Light”: Deepavali 2026 di Lotus's Bukit Tinggi, di sini, hari ini.
Zul Mawardi memaklumkan program berkenaan merupakan kerjasama kali pertama antara KPS Berhad bersama GoBarakah.
"Sumbangan ini melibatkan 150 keluarga daripada masyarakat India, Cina dan Melayu yang dikenal pasti menerusi Sekolah Taman Sri Andalas serta PPR HICOM," katanya.
Zul Mawardi berkata sistem e-baucar membolehkan KPS Berhad menjejaki perbelanjaan setiap keluarga serta barangan yang dibeli bagi memastikan sumbangan digunakan untuk tujuan yang ditetapkan.
"Menerusi kaedah tersebut, penyumbang dapat melihat secara terperinci penggunaan wang yang disalurkan, manakala penerima boleh menggunakan baki baucar untuk pembelian lain," katanya.










