Selangor sasar beralih kepada status negeri pintar menjelang 2030

15 Sep 2026, 5:48 AM
Selangor sasar beralih kepada status negeri pintar menjelang 2030
Selangor sasar beralih kepada status negeri pintar menjelang 2030
Selangor sasar beralih kepada status negeri pintar menjelang 2030
Selangor sasar beralih kepada status negeri pintar menjelang 2030

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Selangor sudah mencapai sekitar 70 hingga 80 peratus sasaran pelaksanaan bandar pintar pada 2025 dan kini bersedia beralih kepada agenda negeri pintar menjelang 2030.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pencapaian itu menunjukkan Selangor berada di landasan tepat untuk memperluas penggunaan teknologi dan pendigitalan daripada peringkat bandar kepada skala lebih menyeluruh.

Menurutnya, hampir keseluruhan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor kini telah mencapai tahap satu dalam pelaksanaan bandar pintar.

“Kalau kita teliti dengan terperinci perubahan yang dilakukan daripada cita-cita untuk menjadi Negeri Pintar menjelang 2025, kita lihat hampir keseluruhan PBT mencapai tahap satu.

“Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sedang bergerak untuk ke tahap dua, manakala Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) paling tinggi kerana telah mencapai tahap dua dan boleh mencapai ke tahap tiga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Seminar Smart Cities 2026 ‘AI Meets Urban Planning 2.0’ di Pusat Konvensyen KLGCC di sini, hari ini.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berucap sempena majlis perasmian Seminar Bandar Pintar 2026: AI Meet Urban Planning 2.0 di Pusat Konvensyen KLGCC Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada 15 September 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Menurut beliau, pencapaian berkenaan membolehkan Selangor dianggap sedang menuju status negeri pintar selepas melepasi tahap satu pelaksanaan bandar pintar.

Amirudin berkata, perkembangan itu turut memberi keyakinan kepada Kerajaan Negeri untuk menjadikan Selangor negeri kedua di Malaysia yang mencapai status negeri pintar.

“Saya percaya Selangor akan menjadi negeri kedua di Malaysia yang mampu menjadi sebuah negeri pintar pada pertengahan tahun hadapan mungkin, atau hujung tahun hadapan paling lewat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Selangor dan Lembah Klang mempunyai tahap pendedahan dan kesediaan lebih tinggi untuk menerima pendigitalan sebagai sebahagian daripada kehidupan masyarakat.

Katanya, tahap kesediaan masyarakat terhadap teknologi perlu diambil kira dalam merancang pembangunan bandar pintar supaya pelaksanaannya benar-benar memenuhi keperluan semasa.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari melawat reruai sebelum majlis perasmian Seminar Bandar Pintar 2026: AI Meet Urban Planning 2.0 di Pusat Konvensyen KLGCC Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada 15 September 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Melaksanakan perancangan mesti datang daripada kefahaman kita terhadap persekitaran, pemahaman kita kepada keperluan,” katanya.

Amirudin berkata penggunaan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) dalam perancangan bandar tidak seharusnya menjadi matlamat semata-mata, sebaliknya perlu disesuaikan dengan persekitaran serta keperluan rakyat.

Katanya, Selangor kini mahu memperluas pendekatan itu daripada peringkat bandar kepada agenda negeri pintar, selaras sasaran menjadikan Selangor negeri pintar menjelang 2030.

"Usaha itu akan diperkukuh menerusi pemanfaatan teknologi dan AI dalam perancangan serta pembangunan bandar yang lebih cekap dan berteknologi tinggi," katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.