SHAH ALAM, 4 NOV: Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) memberi tumpuan kepada pemodenan sektor pertanian menerusi penggunaan teknologi bagi meningkatkan produktiviti serta pendapatan petani.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pembangunan itu bukan sekadar memperluas kawasan pertanian, sebaliknya turut meningkatkan kualiti pengeluaran dan perkhidmatan bagi menjadikan sektor tersebut lebih berdaya saing.
“Pendekatan itu penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada kaedah pertanian tradisional, sekali gus meningkatkan hasil dan pulangan kepada petani serta pengusaha.
“Melalui SABDA, kita bukan sekadar mahu memperluas kawasan atau ladang pertanian, tetapi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan pengeluaran menerusi pertanian tepat serta teknologi moden,” katanya menerusi podcast terbitan SABDA.
SABDA yang melibatkan pembangunan tanah seluas 1,317 hektar merangkumi enam projek utama beroperasi sejak tahun lalu dijangka menjana sekitar RM1.9 bilion pelaburan sekali gus mencipta 3,600 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Ia melibatkan lima kluster iaitu menambah komoditi bernilai tinggi, khidmat sokongan, membangun industri hiliran dan asas tani, meningkatkan sektor pelancongan serta merancakkan pembangunan infrastruktur.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata pembangunan tersebut turut memberi peluang kepada penduduk yang sudah terlibat dalam sektor pertanian untuk memperluas aktiviti ekonomi masing-masing, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada daerah lain bagi mendapatkan sumber pendapatan.
Katanya, antara usaha yang dirancang termasuk pembangunan pusat pengumpulan hasil pertanian di Air Manis bagi membolehkan petani menjual hasil secara terus tanpa terlalu bergantung kepada orang tengah.
“Dengan adanya pusat pengumpulan tersebut, kita berharap dapat memberikan peluang yang lebih adil kepada petani untuk menjual hasil mereka secara terus melalui pusat berkenaan, sekali gus membolehkan mereka memperoleh pendapatan lebih baik,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau berkata SABDA turut membuka peluang kepada generasi muda untuk menceburi sektor pertanian sebagai kerjaya yang mampu menjana pendapatan mampan.
“Generasi muda juga tidak lagi perlu berhijrah ke Klang atau kawasan lain semata-mata untuk mendapatkan kehidupan dan pendapatan yang lebih baik.
"Dengan asas yang kita sedia ada, kini kita mahu memperluas, memperkukuh dan memodenkan asas tersebut berdasarkan teknologi serta sistem yang akan diperkenalkan," katanya.










