Sabak Bernam berpotensi jadi pembekal utama makanan di Lembah Klang

5 Nov 2026, 2:00 AM
Sabak Bernam berpotensi jadi pembekal utama makanan di Lembah Klang
Sabak Bernam berpotensi jadi pembekal utama makanan di Lembah Klang
Sabak Bernam berpotensi jadi pembekal utama makanan di Lembah Klang

SHAH ALAM, 5 NOV: Sabak Bernam berpotensi menjadi pembekal utama makanan untuk memenuhi keperluan penduduk Lembah Klang dan Selangor menerusi pembangunan sektor agromakanan, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan import.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata potensi itu didorong kekuatan Sabak Bernam sebagai jelapang makanan Selangor yang menghasilkan padi, beras, hasil penternakan, sayur-sayuran dan akuakultur.

Menurutnya, Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) antara usaha Kerajaan Negeri memperkukuh kapasiti pengeluaran makanan tempatan bagi memastikan bekalan mencukupi untuk jangka panjang.

“Setiap tahun, Malaysia mengimport makanan bernilai lebih RM60 bilion, dengan Selangor menyumbang lebih 20 hingga 30 peratus berdasarkan populasi dan aktiviti ekonomi.

"Jika kita lihat pada data, mungkin sekitar 80 peratus daripada import bernilai RM60 bilion itu melalui Selangor kerana barangan berkenaan memasuki negara melalui Pelabuhan Klang.

“Perkara ini penting untuk kita. Dalam jangka panjang, kita perlu memastikan bekalan makanan mencukupi melalui pengeluaran petani tempatan dan ekosistem yang kita miliki,” katanya menerusi podcast SABDA baru-baru ini.

Dato’ Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Amirudin menjelaskan pembangunan SABDA tidak hanya tertumpu kepada sektor pertanian, sebaliknya turut merangkumi pengukuhan ekosistem perikanan bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran makanan tempatan.

Sebagai contoh, katanya, pembangunan di Sekinchan bukan sekadar menyediakan jeti, malah meliputi kemudahan penyimpanan, kilang pemprosesan dan keseluruhan ekosistem yang diperlukan bagi kawasan pendaratan hasil perikanan.

Beliau berkata penyediaan infrastruktur dan sistem moden membolehkan Kerajaan Negeri mengenal pasti kapasiti pengeluaran tempatan serta menentukan keperluan bekalan makanan yang masih perlu diimport.

“Dengan adanya infrastruktur dan sistem moden, kita dapat mengira berapa peratus keperluan makanan yang perlu diimport dan berapa peratus yang boleh dibekalkan kepada penduduk Selangor serta Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berpandangan Sabak Bernam mampu memainkan peranan lebih besar dalam menjamin keselamatan makanan di Lembah Klang menerusi peningkatan kapasiti pengeluaran dan pembangunan ekosistem agromakanan.

“Dengan pengeluaran tempatan yang mencukupi untuk penduduk Selangor dan Kuala Lumpur, kita mungkin dapat mengurangkan kebergantungan terhadap import sebanyak 10 hingga 20 peratus,” katanya.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menandatangani plat perasmian Nazbell Cottage & Garden ketika majlis pelancaran Wilayah Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) di Kampung Parit Sepuloh, Sabak Bernam pada 9 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/ SELANGORKINI

Bagi merealisasikan potensi itu, Kerajaan Negeri turut menggalakkan penyertaan pelaburan swasta menerusi ekosistem Speed Selangor yang memberi penekanan kepada proses kelulusan lebih pantas bagi menyokong pembangunan sektor agromakanan.

Untuk rekod, SABDA merupakan antara tiga koridor ekonomi yang dikenal pasti Kerajaan Negeri menerusi Rancangan Selangor Pertama (RS-1) bagi merancakkan pembangunan ekonomi setempat, khususnya sektor agropertanian, keusahawanan dan inovasi komuniti.

Menerusi inisiatif itu, Kerajaan Negeri turut memberi tumpuan kepada pembangunan potensi pertanian, perikanan serta pelancongan bagi mewujudkan peluang ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan penduduk setempat.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.