SHAH ALAM, 8 SEPT: Inisiatif Bantuan Sihat Selangor menyalurkan sumbangan RM5,000 kepada seorang pesakit kanser otak bagi meringankan beban kewangan keluarganya sepanjang menjalani rawatan.
Muhammad Nazrie, 19, menerima bantuan itu bagi membeli susu dan suplemen berikutan keadaannya yang memerlukan sokongan nutrisi sepanjang tempoh rawatan.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang, Chua Wei Kiat berkata Nazrie disahkan menghidap kanser otak ketika berusia 17 tahun, ketika sedang membuat persiapan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Katanya, Nazrie pada mulanya mengalami sakit kepala dan muntah sebelum dibawa mendapatkan pemeriksaan di hospital, yang kemudiannya mengesahkan penyakit berkenaan.
“Beliau perlu menjalani pembedahan otak sebelum meneruskan rawatan kemoterapi dan radioterapi,” katanya kepada Media Selangor.
Wei Kiat berkata, selepas menjalani pembedahan, Nazrie mengalami kesukaran berjalan dan hilang selera makan sehingga terpaksa bergantung kepada susu untuk mendapatkan nutrisi.
"Ketika usia 17 tahun, beliau ada menerima bantuan dari Lembaga Zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tapi masih lagi memerlukan sokongan bagi pembelian susu dan suplemen khas.
"Jadi, inisiatif pejabat DUN Rawang adalah dengan membantu membuat permohonan beliau bagi skim Bantuan Sihat Selangor bernilai RM 5,000 setiap tahun bagi menampung pembelian barangan serta keperluan pemulihan tersebut,"
Baru-baru ini, beliau menziarahi semula Nazrie bagi melihat perkembangan terkini keadaannya.
Menurut Wei Kiat, bantuan yang disampaikan pada waktu diperlukan bukan sahaja dapat meringankan beban keluarga, malah memberi kekuatan dan harapan untuk mereka terus menghadapi ujian berkenaan.







