SUNGAI BESAR, 5 NOV: Pertandingan menghias pintu gerbang kampung di Sabak Bernam bakal dijadikan acara tahunan susulan sambutan menggalakkan yang mencerminkan semangat perpaduan dan gotong-royong dalam kalangan penduduk.
Penghulu Tertinggi Daerah Sabak Bernam, Jumasri Jumin berkata, pertandingan itu membuktikan kesepakatan dan komitmen komuniti setempat dalam menceriakan serta mengindahkan kawasan kampung masing-masing.
"Komitmen yang ditunjukkan oleh semua peserta amat luar biasa. Kesungguhan dan kesepakatan mereka jelas terpancar menerusi hasil yang dipamerkan. Inilah keindahan sebenar Sabak Bernam, di mana semangat gotong-royong masyarakatnya kekal utuh," katanya.
Sementara itu, Penolong Pengurus Besar merangkap Ketua Unit Khas Sabak Bernam Development Area (SABDA), Kamarul Zaki Khalid berkata, hasil kreativiti penduduk amat membanggakan meskipun tempoh persediaan pertandingan agak singkat.
"Walaupun masa persediaan agak singkat, hasil yang ditonjolkan sangat memuaskan berkat komitmen jitu daripada penduduk kampung.
"Melihat pada sambutan yang menggalakkan ini, ia akan diangkat sebagai acara tahunan di Sabak Bernam di bawah penganjuran Karnival Ban Canal," katanya.

Pertandingan itu menyaksikan penyertaan beberapa kampung yang menampilkan pintu gerbang dan mercu tanda dengan hiasan serta identiti tersendiri.
Antara kampung yang mengambil bahagian ialah Kampung Sungai Apong, Kampung Teluk Rhu, Tebuk Mufrad, Kampung Baharu, Kampung Batu 37 Darat, Kampung Parit 1 Barat dan Kampung Tanjung Medan.
Turut menyertai pertandingan ialah Kampung Parit 7 Baroh Sekinchan, Kampung Baru Site C Sekinchan, Kampung Parit 16 Binjai Jaya dan Kampung Desa Warisan.
Bagi menghargai kreativiti serta usaha penduduk, pertandingan itu menawarkan hadiah wang tunai RM3,000 kepada pemenang tempat pertama, RM2,000 (naib johan) dan RM1,000 (tempat ketiga).
Penganjuran pertandingan berkenaan bukan sahaja bertujuan menceriakan landskap kampung, malah menjadi platform memperkukuh hubungan kejiranan serta memupuk semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat setempat.








