SABDA perkasa koperasi, jamin pasaran petani luar bandar

5 Okt 2026, 8:41 AM
SABDA perkasa koperasi, jamin pasaran petani luar bandar
SABDA perkasa koperasi, jamin pasaran petani luar bandar
SABDA perkasa koperasi, jamin pasaran petani luar bandar
SABDA perkasa koperasi, jamin pasaran petani luar bandar

SHAH ALAM, 5 OKT: Pemerkasaan koperasi menerusi Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) berupaya memperluas pemasaran produk setempat selain memastikan sistem pertanian dan pelancongan berjalan sebaik mungkin.

Pengerusi SABDA Dato’ Rizam Ismail berkata langkah itu membolehkan rantaian keterjaminan makanan terus diperkukuh selain mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah yang didominasi peniaga pasar borong.

“Dengan koperasi ini, kita lebih fokus kepada sudut pemasaran dan promosi produk tani tempatan. Paling utama, bagaimana kita menjamin pasaran untuk petani kawasan luar bandar ini.

“Langkah ini dilihat lebih baik kerana dapat memberi persaingan kepada orang tengah yang selalu menawarkan harga rendah kepada golongan petani,” katanya kepada Media Selangor.

SABDA yang melibatkan pembangunan tanah seluas 1,317 hektar merangkumi enam projek utama beroperasi sejak tahun lalu dijangka menjana sekitar RM1.9 bilion pelaburan sekali gus mencipta 3,600 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Ia melibatkan lima kluster iaitu menambah komoditi bernilai tinggi, khidmat sokongan, membangun industri hiliran dan asas tani, meningkatkan sektor pelancongan serta merancakkan pembangunan infrastruktur.

Sementara itu, Rizam yang juga EXCO Kemajuan Desa berkata pembangunan SABDA berjalan dengan baik dan memberi manfaat kepada penduduk setempat meski berdepan dengan isu tarikan pelabur.

“Bagaimanapun, dari keseluruhan sudut, SABDA berjalan lancar malah disokong dengan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) memandangkan projek ini menyumbang kepada potensi ekonomi tempatan sekali gus meningkatan pendapatan setempat,” katanya.

Pada Ogos, beliau memaklumkan antara rancangan jangka panjang SABDA dalam tempoh lima tahun ini adalah projek pertanian sulur nanas MD2, pengeluaran benih betik Selangor menjelang 2027 serta benih kelapa hibrid mulai 2029 hingga 2031.

Menurutnya, bagi mengelakkan pembaziran guna tanah, beberapa projek tanaman kontan dilaksanakan untuk terus menjana ekonomi usahawan dan petani seperti tanaman nanas Yankee, jambu, pisang, bendi, terung dan peria.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.