SHAH ALAM, 5 NOV: Klang mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tertinggi di negara ini iaitu 78, namun masih berada pada tahap sederhana setakat jam 8 pagi ini.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), tiada kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan IPU tidak sihat bagi hari keenam berturut-turut pada waktu pagi.
Daripada 68 stesen pemantauan, sebanyak 40 stesen mencatatkan bacaan sederhana, manakala 28 lagi berada pada tahap baik.
Di Selangor, kesemua enam stesen merekodkan IPU sederhana dengan Klang mencatatkan bacaan tertinggi, diikuti Johan Setia (75), Shah Alam (68), Petaling Jaya (61), Banting (58) dan Kuala Selangor (54).
Selain Selangor, kawasan lain yang mencatatkan bacaan sederhana termasuk Batu Muda, Kuala Lumpur (73), Cheras (68), Tasek Ipoh, Perak (66) dan Seri Manjung (65).
Putrajaya dan Tawau, Sabah masing-masing merekodkan IPU 64, manakala Nilai di Negeri Sembilan serta Larkin di Johor mencatatkan bacaan 63.
Sementara itu, Mukah di Sarawak merekodkan bacaan IPU paling rendah iaitu 20, diikuti IPD Serian (26), Kuching (28) serta Limbang (48).
Kawasan lain yang mencatatkan tahap baik termasuk Tanjung Malim di Perak dan Segamat di Johor dengan bacaan masing-masing 47 serta Sungai Petani, Kedah (46).
Mengikut kategori APIMS, bacaan IPU antara sifar hingga 50 diklasifikasikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan melebihi 300 (berbahaya).






