SHAH ALAM, 26 OKT: Keadaan jerebu di negara ini terutama di Selangor terus menunjukkan perkembangan positif.
Setakat jam 3 petang, kualiti udara di Semenanjung mencatatkan bacaan IPU baik dan sederhana manakala di Sarawak enam kawasan merekodkan bacaan IPU tidak sihat.
Berdasarkan laporan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), 30 kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak mencatatkan bacaan IPU baik, 32 kawasan IPU sederhana dan enam kawasan tidak sihat.
Di Selangor, hanya Kuala Selangor merekodkan bacaan IPU sederhana iaitu 52 manakala lima kawasan lain mencatatkan IPU baik iaitu Shah Alam (47), Petaling Jaya (44), Johan Setia (42), Klang (40) dan Banting (31).
Enam kawasan di Sarawak yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat ialah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian merekodkan IPU tertinggi iaitu 157.
Kawasan lain ialah Sarikei (153); Sibu (153); Kuching (152); Samarahan (116) dan Mukah (104).
Bacaan IPU antara sifar hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat), manakala bacaan 301 ke atas dikategorikan sebagai berbahaya.





