MBSA sedia 18 tong roro bantu kerja pembersihan penduduk Kampung Melayu Subang

4 Nov 2026, 1:35 PM
MBSA sedia 18 tong roro bantu kerja pembersihan penduduk Kampung Melayu Subang
MBSA sedia 18 tong roro bantu kerja pembersihan penduduk Kampung Melayu Subang
MBSA sedia 18 tong roro bantu kerja pembersihan penduduk Kampung Melayu Subang

SHAH ALAM, 4 NOV: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan 15 tong sampah pukal (roro) bergerak berkapasiti tiga tan di Kampung Melayu Subang bagi membantu penduduk menguruskan sisa buangan susulan kejadian banjir.

Menurut MBSA, kemudahan itu disediakan menerusi kerjasama KDEB Waste Management (KDEBWM) bagi memudahkan kerja pengumpulan dan pelupusan sisa pasca banjir di kawasan terjejas.

“Selain itu, MBSA turut menyediakan tiga unit tong roro bergerak di kawasan Desa Subang Perantau, Jalan Ikhlas bagi memudahkan penduduk mengumpulkan sisa buangan serta melancarkan kerja pembersihan pasca banjir di kawasan berkenaan.

“Daripada tiga unit tong roro bergerak yang disediakan, sebuah mempunyai kapasiti muatan sehingga 10 tan manakala dua lagi masing-masing berkapasiti tiga tan bagi menampung pengumpulan sisa buangan di kawasan berkenaan,” katanya menerusi Facebook.

MBSA turut menyediakan tong sampah di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) termasuk Dewan Siantan, Dewan Resak dan Dewan Seri Pagi, Paya Jaras Hilir bagi memastikan kebersihan serta pengurusan sisa pepejal teratur.

Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan usaha pembersihan akan terus dipergiat dengan kerjasama agensi berkaitan bagi memastikan pengurusan sisa buangan berjalan lancar serta mempercepatkan proses pemulihan di kawasan yang terjejas akibat banjir.

Sebelum ini, MBSA turut melaksanakan kerja pembersihan pasca banjir di Kampung Melayu Subang dan Taman Setia Warisan pada 3 November dengan menyediakan tong roro bagi membantu penduduk mengumpulkan sisa buangan.

Pada 2 November, banjir kilat melanda Kampung Melayu Subang susulan hujan lebat dengan taburan sehingga 116.5 milimeter (mm) dalam tempoh kira-kira sejam, menyebabkan air sungai melimpah ke kawasan kediaman penduduk.

Kejadian itu menjejaskan kira-kira 92 rumah di empat kawasan iaitu Lorong Merbau (30 rumah), Jalan Cengal (tujuh), Jalan Resak (lima) dan Jalan Jati (50) dengan paras air dilaporkan mencecah sehingga satu meter.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.