SHAH ALAM, 3 NOV: Penduduk Shah Alam kini boleh memantau kawasan berisiko banjir secara langsung selain menerima amaran awal menerusi Portal Pintar Lensa Shah Alam (i-Lensa) yang diperkenalkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Pengurus Pusat Kawalan Sistem Integrasi Pemantauan Pintar Shah Alam (IRIS) MBSA Ts Najhan Pata Sairi berkata portal itu dibangunkan secara 'mobile responsive' bagi memudahkan orang ramai mendapat maklumat melalui telefon pintar, tablet atau computer dengan paparan bersesuaian.
“Platform i-Lensa dibangunkan selepas banjir besar 2021 dan merupakan pemantauan pintar berpusat MBSA yang mana kita memantau lebih daripada 174 hingga 200 kamera litar tertutup (CCTV) di seluruh Shah Alam.
“Jika kaedah dahulu kita tiada pemantauan awal untuk paparkan kepada penduduk jika berlaku bencana. Kita ada CCTV tetapi hanya ada di pusat kawalan MBSA sahaja tetapi dengana adanya i-Lensa kita beri footage CCTV kepada masyarakat tanpa mengira waktu.

“Kita bawa terus 'live feed' dan penduduk dapat pantau keadaan lokasi bencana…kita ada hotspot bencana banjir, jenayah dan komuniti awam. Kita juga ada amaran siren secara 'real time', maksudnya air melebihi amaran atau bahaya akan berbunyi di telefon masing-masing,” katanya kepada Media Selangor.
Tambahnya, antara kawasan bawah pemantauan adalah seperti Seksyen 23 berdekatan Aeon Big yang sering berlaku kenaikan air.
“Dengan pemantauan kamera seperti di kawasan Seksyen 15, 17, 19, 23 dan 25 termasuk Padang Jawa sudah nampak kurang kes. Kini kes beralih ke U12 dan i-City. Tetapi ia melibatkan Klang, perlu berintegrasi bagi selesaikannya,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau menjelaskan MBSA sentiasa memantau situasi terkini sebelum berlakunya bencana di bawah Pusat Kawalan IRIS yang berfungsi 24 jam sehari.
“Sebagai contoh, kalau sesetengah kawasan hujan lebat, pusat kawalan akan pantau melalui telemetri hotspot. Kita juga ada Gabungan Pasukan Bencana Shah Alam terdiri antaranya polis, bomba, pejabat daerah, Jabatan Kebajikan Masyarakat termasuk Skuad Pantas.
“Kalau ada kes kenaikan awal air, kita akan beri pasukan di lapangan, mereka akan buat semakan sama ada situasi risiko tinggi atau rendah sebelum beri sebarang maklumat,” katanya.










