SHAH ALAM, 28 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melaksana beberapa kerja penambahbaikan sistem saliran termasuk membina parit erong bagi mengurangkan risiko banjir di sekitar Jalan Keluli 1C, berhampiran i-City, Seksyen 7, di sini.
Jabatan Korporat dan Perhubungan Awam MBSA menerusi kenyataan memaklumkan turut dilaksana pemasangan kawalan aliran air (flap gate) di bahagian salur masuk dan keluar longkang di kawasan terbabit.
“Tindakan bersepadu antara agensi berkaitan telah digerakkan bagi menangani isu tersebut. Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) akan melaksanakan tindakan susulan di kawasan berkenaan.
“MBSA akan menambah baik sistem saliran termasuk mengoptimumkan kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan parit berkenaan.
“MBSA akan terus bekerjasama dengan agensi teknikal dan pihak pengurusan i-City bagi mengenal pasti langkah penyelesaian yang bersesuaian, sekali gus mengurangkan risiko kejadian banjir berulang di kawasan berkenaan,” katanya.
Banjir kilat berlaku di sekitar Jalan Keluli 1C, berhampiran i-City, Seksyen 7, susulan hujan lebat di luar jangka sekitar jam 12 tengah hari hingga 1 petang tadi.
Kejadian turut dipengaruhi oleh paras air Sungai Rasah yang tinggi khususnya di kawasan Tugu Keris, sehingga menyebabkan limpahan air.







