SHAH ALAM, 5 SEPT: Faktor kesalinghubungan antara perkara utama dalam menjayakan hasrat mengecilkan jurang pendapatan antara daerah di Selangor, kata pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM).
Menurut Pensyarah Perancang Bandar dan Wilayah/Pembangunan Komuniti UPM Dr Mohammad Mujaheed Hassan, ia ntaranya jaringan jalan raya, pengangkutan awam dan infrastruktur digital.
“Pertama, lihat kesalinghubungan di setiap daerah seperti jalan raya, pengangkutan awam, infrastruktur digital dan sebagainya kerana ini perkara asas serta penting kepada pembangunan sesuatu kawasan," katanya kepada Media Selangor.
Sebelum ini, Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyatakan pembukaan Lebuhraya Pesisir Pantai Barat (WCE) menjadi pemangkin dalam merapatkan jurang pembangunan antara luar bandar dan bandar terutama di utara negeri.
Selangor juga mahu membina jajaran Rel Kita Selangor sepanjang 211 kilometer meliputi laluan Sabak Bernam merentasi Sepang hingga Negeri Sembilan dalam Rancangan Selangor Satu (RS-1).
Rancangan Selangor Dua (RS-2) pula menyebut projek berkenaan akan dijayakan sama ada melalui pembinaan rel sepenuhnya ataupun campuran bas rapid transit (BRT) untuk meminimumkan kos.
Dalam RS-2, Selangor menyasarkan jurang pendapatan antara daerah dikecilkan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi lebih seimbang dan lebih adil kepada masyarakat di setiap daerah.
Dr Mohammad Mujaheed berkata pembangunan WCE yang menghubungkan kawasan perindustrian dan pelabuhan utama di Pelabuhan Klang bakal merancakkan lagi ekonomi di wilayah utara negeri.
“Kelebihan Selangor bukan hanya kerana kita berada di tengah Semenanjung. Kita juga ada pintu antarabangsa melalui Pelabuhan Klang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpir (KLIA).
"Yang penting bagaimana mahu hubungkan daerah-daerah ini dengan pintu serta pusat ekonomi. Kalau kesalinghubungan itu dapat diperkukuh, saya rasa potensi untuk merancakkan ekonomi ke kawasaan lain memang jauh lebih besar,” katanya.
Beliau memberitahu jurang pendapatan antara daerah boleh dikecilkan melalui pembangunan mengikut potensi sesebuah kawasan, bukan semata-mata bersumberkan pelaburan luar.
“Perlu utamakan pelaburan yang mampu menjana lebih banyak peluang pekerjaan berimpak tinggi kepada penduduk tempatan. Maksudnya bukan sekadar berapa bilion pelaburan masuk, tapi berapa banyak pekerjaan berkualiti yang mampu diwujudkan.
"Usahawan tempatan juga perlu dimasukkan dalan ekosistem ekonomi. Kalau pelaburan besar masuk tetapi rantaian bekalan dari luar dan guna pekerja warga asing, kesan pengganda tempatan tidak akan begitu besar," katanya.
Beliau juga memuji pendekatan RS-2 yang mahu membangunkan ekonomi mengikut kekuatan daerah selepas sekian lama pembangunan tertumpu di beberapa daerah sahaja.
Dr Mohammad Mujaheed turut menyifatkan cadangan pembahagian sektor ekonomi antara daerah sebagai langkah baik tetapi mengingatkan agar pelaksanaannya tidak boleh terlalu rigid.
“Sebenarnya bagus sebab kita boleh bangunkan berdasarkan kekuatan sedia ada dan potensi kawasan berbanding hanya memaksa sektor yang mungkin tidak sesuai dengan konteks tempatan.
“Jangan terlalu tegar (rigid) sampai kita label satu daerah satu sektor. Itu agak berbahaya kerana jika sektor tersebut bergerak perlahan, ekonomi daerah itu boleh terkesan sama,” katanya.
Beliau menegaskan pembangunan seimbang bukan bermaksud semua daerah dibangunkan dengan cara atau sektor ekonomi sama tetapi mengambil kira kesan kepada ekonomi dan masyarakat setempat.
Dr Mohammad Mujaheed juga menyarankan amalan pengelompokan ekonomi dan rantaian nilai yang berupaya mencipta ekosistem baharu bagi mengecilkan jurang pendapatan antara daerah.
Katanya, pendekatan tersebut bukan sekadar membahagi sektor mengikut daerah semata-mata tetapi berupaya mencipta ekosistem yang saling melengkapi antara semua daerah berkenaan.
“Itu lebih mampan. Setiap daerah ada pengkhususan masing-masing tetapi masih berhubung dan saling menyokong dalam keseluruhan ekonomi Selangor,” katanya lagi.
Beliau percaya kedudukan negeri di bahagian tengah pantai barat Semenanjung dan mengelilingi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya memberi kelebihan besar dalam aspek ekonomi.
Potensi daerah utara
Beliau turut menjelaskan tiga daerah di utara Selangor iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor berpotensi menjadi wilayah ekonomi koridor utara yang kukuh.
Katanya, pembangunan Rancangan Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) memberi kelebihan kepada daerah itu tetapi tumpuan juga perlu diberi kepada Hulu Selangor dan Kuala Selangor.
“Kalau kita bandingkan wilayah tengah seperti Petaling, Klang atau Shah Alam, pembangunan di bahagian utara memang berbeza. Jadi, SABDA sebenarnya boleh jadi pemangkin ekonomi baharu untuk utara Selangor.
“Tapi kita juga tidak boleh tengok Sabak Bernam sahaja. Kuala Selangor dan Hulu Selangor pun perlu diberi perhatian kerana tiga kawasan ini berpotensi untuk saling melengkapi dan membentuk koridor ekonomi wilayah utara.
“Contohnya, Sabak Bernam fokus industri pertanian dan sektor makanan, Kuala Selangor pula dari segi pelancongan, perkhidmatan dan industri berasaskan pertanian manakala Hulu Selangor ada kelebihan dalam industri pembuatan dan automatif.
“Hulu Selangor pula mempunyai potensi automotif dan industri berteknologi tinggi, manakala Kuala Selangor mempunyai kekuatan dalam pelancongan, industri berasaskan pertanian dan juga industri baharu apabila kesalinghubungan semakin baik,” katanya.
Dr Mohammad Mujaheed berkata Sabak Bernam contohnya memerlukan lebih banyak pelaburan bagi memajukan sektor pertanian moden, pemprosesan makanan dan industri berasaskan pertanian berbanding daerah lain.
“Contohnya Sabak Bernam melalui Rancangan Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) boleh diperkukuh dalam pertanian moden, agromakanan, agro-pelancongan dan industri hiliran,” katanya.








