SABDA perkasa potensi pertanian, ekonomi komuniti Sabak Bernam

13 Sep 2026, 10:36 AM
SABDA perkasa potensi pertanian, ekonomi komuniti Sabak Bernam
SABDA perkasa potensi pertanian, ekonomi komuniti Sabak Bernam

SHAH ALAM, 13 SEPT: Potensi ekonomi mampan Sabak Bernam terus diperkasa menerusi usaha mengembangkan hasil pertanian kepada produk bernilai tambah selain memperkukuh penyatuan komuniti menerusi Jelajah Kembara SABDA Siri Ke-8 @ Pesta D’Bendang 2026.

Pegawai Daerah Sabak Bernam, Ali Sadikin Sadin berkata, inisiatif Kemajuan Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) yang diterajui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memberi tumpuan kepada integrasi pembangunan ekonomi, keterjaminan makanan dan pemerkasaan komuniti.

Menurutnya, Sabak Bernam mempunyai kekuatan strategik menerusi kira-kira 48,216 hektar tanah pertanian yang boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan nilai ekonomi sektor berkenaan.

"Cabaran kita selepas ini ialah bagaimana untuk meningkatkan nilai ekonomi tersebut daripada hasil pertanian kepada produk bernilai tambah dan membuka lebih banyak peluang kepada usahawan serta anak-anak muda kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program berkenaan di Balai Raya Parit 13, Sungai Panjang, Sabak Bernam, semalam.

Terdahulu, majlis turut diserikan dengan simbolik penanaman anak pokok oleh pihak Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS).

Turut hadir Penolong Pengurus Besar Ketua Unit Khas SABDA, Kamarul Zaki Khalid; Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Abdul Halim Masnan serta Pegawai Penyelaras Parlimen Sungai Besar, Azhar Achil.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Parit 13 Sungai Panjang, Nur Syuhadah Yaacob berkata, penganjuran kali kedua pesta berkenaan mendapat kerjasama erat daripada agensi kerajaan dan swasta.

Katanya, sebanyak 17 reruai pameran dibuka termasuk daripada Agrobank, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Zakat Selangor dan UPSI.

"Sambutan yang diterima amat luar biasa dengan kehadiran pengunjung yang menyertai pelbagai acara santai seperti pertandingan Musang Berjanggut dan gubahan bakul spontan, disusuli kemeriahan sukan rakyat di dalam lumpur bendang," katanya.

Dalam majlis sama, seramai 20 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam kalangan anak penduduk JPKK Kampung Parit 13 Sungai Panjang menerima bantuan kelas tuisyen dalam talian secara percuma daripada UPSI.

Inisiatif bernilai RM300 bagi setiap pelajar itu merangkumi bimbingan selama empat bulan yang dikendalikan barisan tenaga pengajar berpengalaman dari universiti berkenaan.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.