PETALING JAYA, 4 NOV: Perancangan bandar perlu berteraskan prinsip kemanusiaan dengan mengutamakan kesejahteraan dan keperluan penduduk, bukan sekadar memberi tumpuan kepada pembangunan fizikal serta keindahan sesebuah kawasan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembangunan bandar perlu mengambil kira keperluan semua lapisan masyarakat termasuk golongan miskin, peniaga kecil dan penduduk di kawasan pinggir bandar.
Katanya, pembangunan kota sebenarnya membawa makna lebih besar kerana ia turut membabitkan pembangunan insan, pembentukan nilai dan peningkatan martabat manusia.
"Kehijauan, taman dan persekitaran yang berkualiti membentuk bandar yang bukan sahaja maju dari segi fizikal, malah mempunyai nilai dalaman, nilai budaya dan kehidupan yang baik.
"Nilai dalaman maknanya apa? Dari seninya budayanya, dari segi persekitarannya, dari hijaunya," katanya berucap pada Majlis Peluncuran Rancangan Pemajuan Nasional: Rancangan Fizikal Negara Kelima (RFN5) dan Dasar Perbandaran Negara Ketiga (DPN3) sempena sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2026 di sini, hari ini.

Anwar berkata perancangan bandar tidak seharusnya hanya mengutamakan pembangunan komersial, bangunan megah dan prasarana moden sehingga mengabaikan keperluan asas rakyat.
Sebaliknya, penyediaan rumah rakyat, gerai perniagaan kecil, kemudahan awam serta kawasan hijau perlu diberikan perhatian seiring usaha memajukan sesebuah bandar.
Katanya, golongan peniaga kecil khususnya perlu mendapat perhatian sewajarnya kerana sebahagian besar masyarakat bergantung kepada gerai, warung dan restoran kecil dalam kehidupan seharian.
"80 petatus rakyat itu ke gerai, ke warung, ke restoran kecil. Tapi perhatian kita 20 peratus kepada mereka.
“Pembangunan yang benar-benar berjaya bukan sekadar menghasilkan bandar yang indah dari segi luaran, sebaliknya mampu menyediakan persekitaran kehidupan lebih baik kepada seluruh penduduk,” katanya.
Beliau berkata pembangunan bandar juga perlu memastikan golongan berpendapatan rendah tidak terus terpinggir, terutama penduduk di kawasan yang berdepan masalah kemudahan asas dan banjir.
Menurutnya, masalah banjir umpamanya lazimnya memberi kesan lebih besar kepada penduduk miskin yang tinggal di kawasan pinggir bandar, justeru penyelesaiannya perlu menjadi sebahagian daripada keutamaan perancangan.
Beliau turut mengingatkan perancang bandar supaya memastikan pembangunan moden dan kemajuan teknologi tidak menyebabkan masyarakat melupakan nilai kemanusiaan serta tanggungjawab sosial.
"Menggapai di langit itu satu kemestian, nak bangun menara gading, kemuncak ke langit tak ada masalah, tetapi jangan kita lupa jejak ke bumi. Jejak ke bumi ini apa? Nilai kita, akhlak kita, kemudahan agama kita. Kemanusiaan kita, rumah rakyat yang miskin.
“Kelestariannya, kehijauannya, tamannya. Jadi ke arah itu, tentu ada perencanaan, yang merencana jurutera, perancang bandar. Jadi ini peranan sebenarnya perancang bandar,” katanya.
Terdahulu, Anwar melancarkan RFN5 yang menggariskan 13 Ikhtiar Perancangan Nasional sebagai panduan strategik memacu pembangunan fizikal negara yang mampan, berdaya tahan dan inklusif.
Menurutnya, RFN5 perlu mengambil kira keperluan semasa serta cabaran masa hadapan bagi memastikan perancangan pembangunan negara kekal relevan dan memenuhi keperluan rakyat.








