SHAH ALAM, 3 NOV: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan projek tebatan banjir bernilai kira-kira RM500 juta di Kampung Melayu Subang dipercepat bagi menangani kejadian banjir berulang di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, projek membabitkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri itu sudah diluluskan, namun pelaksanaannya perlu disegerakan terutama di kawasan yang beberapa kali dilanda banjir.
Menurutnya, projek berkenaan merangkumi pelebaran sungai, pembinaan kolam takungan tambahan dan kerja tebatan banjir lain termasuk mengorek sungai yang kontraknya sudah diluluskan.
“Saya minta percepatkan, kalau tidak tiada penyelesaian segera. Yang saya bimbangkan ini sebab sudah dua tiga kali banjir, jadi ia perlu melibatkan pelebaran sungai, kolam tambahan dan projek tebatan banjir.
“Keseluruhannya dalam RM500 juta sudah diluluskan, cuma bagaimana hendak kita percepatkan,” katanya ketika ditemui media selepas melawat mangsa banjir di pusat penempatan sementara (PPS) di Dewan Siantan Kampung Melayu Subang di sini hari ini.
Turut hadir, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari; Ahli Parlimen Sungai Buloh Dato’ Sri R Ramanan serta Ahli Dewan Negeri Kota Damansara Muhammad Izuan Ahmad Kasim.
Sementara itu, Anwar berkata, beliau akan meminta laporan lengkap berhubung status keseluruhan projek dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Jumaat ini bagi mengenal pasti perkembangan serta langkah mempercepat pelaksanaannya.
“Hari Jumaat, Menteri Besar akan adakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk dapatkan perkembangan terkini projek. Saya akan minta laporan Jumaat ini,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata bantuan tambahan kepada mangsa banjir akan disalurkan dengan segera menerusi penyelarasan bersama Kerajaan Selangor.
“Bantuan akan disalur sebelum kita pergi. Kita akan salurkan tambahan dan tengok satu persatu kes. Saya akan senaraikan bersama Menteri Besar berapa Kerajaan Negeri dan berapa Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Semalam, banjir kilat melanda Kampung Melayu Subang susulan hujan lebat dengan taburan sehingga 116.5 milimeter (mm) dalam tempoh kira-kira sejam, menyebabkan air sungai melimpah ke kawasan kediaman penduduk.
Kejadian itu menjejaskan kira-kira 92 rumah di empat kawasan iaitu Lorong Merbau (30 rumah), Jalan Cengal (tujuh), Jalan Resak (lima) dan Jalan Jati (50). Paras air dilaporkan mencecah sehingga satu meter di kawasan kediaman penduduk.











