SHAH ALAM, 28 SEPT: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kuala Selangor meningkatkan persiapan dan pemantauan bagi menghadapi fenomena air laut pasang besar.
Berdasarkan hantaran Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Selangor di Facebook, paras air laut di Stesen One Phantom Bank dijangka mencecah sehingga 5.4 meter pada esok jam 6.54 pagi dan Rabu 5.3 meter pada jam 7.27 pagi.
Paras berkenaan merupakan bacaan tertinggi yang dijangka direkodkan berdasarkan jadual air laut pasang besar di stesen terbabit.
Susulan itu, pemantauan dan persiapan secara berterusan akan dijalankan bagi menghadapi fenomena berkenaan.
Tumpuan diberikan kepada kawasan yang dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ berlakunya limpahan air laut.
Kawasan benteng dan ban pesisir pantai turut diberi perhatian berikutan risiko limpahan air laut yang boleh menyebabkan kejadian banjir.
JPBD Kuala Selangor akan meningkatkan tahap persiapan bagi memastikan pemantauan di kawasan berisiko dilaksanakan secara berterusan.
Pada masa sama, PDT Kuala Selangor mengingatkan orang ramai supaya bersedia menghadapi fenomena air laut pasang besar tersebut.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap keadaan semasa, khususnya di kawasan yang berisiko mengalami limpahan air laut.
“PDT Kuala Selangor mengingatkan orang ramai untuk bersedia dan sentiasa peka serta berwaspada untuk menghadapi fenomena tersebut,” menurut kenyataan itu lagi.







