KUALA SELANGOR, 18 OKT: Bantuan peralatan perniagaan menerusi program Blueprint Kerajaan Negeri memberi nafas baharu kepada 26 peniaga kecil luar bandar di daerah ini bagi melancarkan operasi harian dan membantu meningkatkan pendapatan.
Bantuan yang mula diagihkan awal Oktober itu turut memberi peluang kepada penerima menambah kelengkapan perniagaan, khususnya mereka yang bergantung kepada hasil jualan harian sebagai sumber pendapatan.
Bagi pengusaha warung roti canai, Sarina Musa, bantuan berupa dapur, gerai, kerusi dan meja amat bermakna selepas 20 tahun menjalankan perniagaan bersama suaminya.
Menurutnya, sepanjang tempoh itu, beliau hanya pernah menerima bantuan mesin pengisar tepung daripada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) sebelum memperoleh bantuan Blueprint bernilai mencecah RM10,000.
“Saya pernah mendapat bantuan pengisar tepung dari PPK dan bantuan peralatan Blueprint ini adalah kali kedua yang paling banyak saya terima dengan nilai mencecah RM10,000.
“Saya amat berterima kasih kepada ketua kampung, penghulu atas bantuan Kerajaan Negeri ini,” katanya kepada Media Selangor.

Pada masa sama, Sarina berharap peralatan baharu itu dapat melancarkan urusan perniagaan dan membantu menambah rezeki keluarganya.
“Harapan saya semoga rezeki bertambah-tambah. Terima kasih kepada ketua kampung, YB (Yang Berhormat) dan penghulu Tanjung Karang yang banyak membantu memastikan permohonan ini berjaya.
"Saya juga berharap bantuan seumpama itu diteruskan supaya lebih ramai peniaga kecil berpeluang memperbaiki taraf hidup,” katanya.
Sementara itu, EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu berkata program berkenaan mencapai objektif membantu peniaga kecil luar bandar yang bergantung sepenuhnya kepada perniagaan sebagai sumber pendapatan.
Menurutnya, ketua kampung dan penghulu memainkan peranan penting dalam membantu proses permohonan serta siasatan sebelum dikemukakan untuk kelulusan.
“Peniaga-peniaga kecil inilah yang menggerakkan ekonomi tempatan. Kita mengharapkan kerajaan terus memberikan tumpuan kepada mereka, termasuk melalui bantuan peralatan dan pelbagai latihan keusahawanan,” katanya.
Untuk rekod, Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Selangor yang diperkenalkan sejak 2008 menyediakan bantuan mesin dan peralatan perniagaan bernilai sehingga RM10,000 kepada usahawan kecil berpendapatan rendah.
Had bantuan itu dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM10,000 mulai 2022.








