SHAH ALAM, 24 SEPT: Beberapa laluan di sekitar daerah Kuala Selangor akan ditutup sementara secara berperingkat bagi memberi laluan kepada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 pada 27 September ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintenden Azaharuddin Tajudin berkata jalan ditutup bermula 11 pagi hingga 1 tengah hari.
"Antaranya Bukit Cherakah (lampu isyarat Mokhtar Dahari - lampu isyarat Desa Coalfield) dan Jalan Kuala Lumpur - Kuala Selangor (Desa Coalfield - lampu isyarat Simpang Tiga Asam Jawa)," katanya.
Selain itu, penutupan jalan membabitkan Jalan Klang ke Teluk Intan (KM 41 - Asam Jawa - KM 74.4 - papan tanda sempadan Kuala Selangor - Sabak Bernam).
Menurutnya dua jalan alternati yang boleh digunakan adalah Jalan Kuala Selangor - Rawang dan Jalan Bankenal, Tanjong Karang.
Sehubungan itu, pengguna jalan raya khususnya warga Kuala Selangor dinasihatkan supaya merancang perjalanan dan memilih laluan alternatif bagi mengelakkan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas semasa penutupan dilaksanakan.
"Patuhi arahan petugas dan beri kerjasama bagi melancarkan perjalanan," tegasnya.








