KUALA LUMPUR, 3 NOV: Polis menahan seorang wanita hari ini bagi membantu siasatan berhubung insiden mengganggu pengunjung dan pelanggan di sebuah pusat beli-belah di ibu negara.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin berkata wanita berusia 25 tahun itu ditahan pada 5.40 petang di Bandar Sri Damansara.
“Hasil siasatan awal, wanita itu mengaku terbabit dalam kejadian berkenaan," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur melalui talian 03-2146 0522 atau 03-2146 0585, Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi 03-2600 2222 atau hadir ke balai polis berhampiran.
Pada Ahad lepas, tular melalui media sosial memaparkan pergaduhan antara seorang wanita dan seorang lelaki selepas wanita itu dipercayai mengasari kanak-kanak di sebuah pusat beli-belah.







