SHAH ALAM, 13 NOV: Seorang anggota polis cedera semasa cuba menahan seorang suspek kes samun di sebuah stesen minyak di Persiaran Raja Muda Musa, Klang dekat sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Ramli Kasa berkata dalam kejadian kira-kira 2.30 petang itu, pihaknya mengesan sebuah kereta jenis sedan yang disyaki terlibat dalam kejadian samun di Subang Jaya, di stesen minyak itu.
"Apabila pasukan polis hendak membuat tangkapan, suspek yang memandu kereta tersebut telah bertindak agresif dengan menolak anggota polis dan melarikan diri menggunakan keretanya.
"Kereta suspek telah melanggar dan hampir menggilis kaki anggota polis serta melanggar kereta yang digunakan oleh pasukan polis sebelum melarikan diri dengan melawan arus, masuk ke Jalan Besar Persiaran Raja Muda Musa menghala ke Shah Alam," katanya dalam kenyataan.
Ramli berkata suspek telah meninggalkan kereta itu di tepi Persiaran Sultan Ibrahim sebelum melarikan diri dan kenderaan polis yang dirempuh mengalami kerosakan.
Anggota polis terlibat dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk rawatan lanjut dan kenderaan yang dirempuh mengalami kerosakan.
Ramli berkata bertindak atas maklumat, lelaki berusia 34 tahun itu berjaya ditahan pada 12.45 tengah malam tadi di Bandar Bukit Tinggi, Klang.
"Hasil semakan turut mendapati warga tempatan itu mempunyai 20 rekod jenayah lampau dan lima rekod berkaitan dadah. Siasatan lanjut akan diteruskan berkaitan penglibatan dalam jenayah lain," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 186 dan 307 Kanun Keseksaan.




