ad
AGENDA

Bertengkar di jalan raya, lelaki Singapura tendang BMW ditahan polis

9 Jun 2025, 7:21 AM
Bertengkar di jalan raya, lelaki Singapura tendang BMW ditahan polis

JOHOR BAHRU, 9 JUN: Seorang lelaki warga Singapura ditahan bagi membantu siasatan kes pertengkaran dengan seorang individu dan perbuatan khianat terhadap sebuah kereta di Taman Tun Aminah, Skudai semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Balveer Singh Mahindar Singh berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian pada 3.01 petang semalam daripada seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun.

Beliau berkata bertindak atas laporan itu, polis berjaya menahan suspek yang berusia 40 tahun kira-kira 6.20 petang tadi.

“Dalam laporannya, pengadu menyatakan semasa memandu kereta jenis BMW pada 2.39 petang di kawasan Tun Aminah, sebuah kereta Toyota Altis bernombor pendaftaran Singapura membunyikan hon beberapa kali kepadanya dipercayai tidak berpuas hati kerana menghalang laluan.

“Susulan itu, berlaku pertengkaran mulut antara mereka dan suspek telah menendang kereta pengadu sehingga mengakibatkan kerosakan. Bagaimanapun, pengadu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Balveer Singh berkata suspek yang tidak memiliki rekod jenayah lampau dan negatif terhadap dadah akan dibawa ke Mahkamah Johor Bahru hari ini untuk proses permohonan reman.

Kes katanya, disiasat di bawah Seksyen 426 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan Seksyen 509 kanun sama kerana mengaibkan kehormatan seseorang.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara menerusi talian 07-5563122 untuk membantu siasatan.

Terdahulu, polis mengesan video tular menerusi Facebook memaparkan dua lelaki sedang bertengkar di kawasan tepi jalan dan kesan remuk pada sebuah kereta.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.