Lelaki ditahan pukul warga emas selepas kemalangan kecil di Batu 9 Cheras

9 Feb 2026, 3:21 AM
Lelaki ditahan pukul warga emas selepas kemalangan kecil di Batu 9 Cheras

SHAH ALAM, 9 FEB: Polis menahan seorang lelaki selepas disyaki memukul dan menendang seorang warga emas selepas berlaku kemalangan kecil berhampiran lampu isyarat Pekan Suntex, Batu 9 Cheras, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Nazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 4.49 petang daripada mangsa berusia 69 tahun, yang mendakwa dipukul dan diugut suspek di lokasi kejadian.

Susulan itu, suspek berusia 52 tahun ditahan pada jam 11.30 malam di sekitar Kajang dan direman selama dua hari bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mencederakan serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan berkaitan ugutan jenayah," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat, Sarjan Ganesan Ramachandran di talian 012-608 9180.

Polis turut menasihatkan orang ramai agar bertenang dan mematuhi undang-undang bagi memastikan ketenteraman awam terus terpelihara.