Penjawat awam ditahan miliki pistol, dadah dalam kereta

17 Mei 2026, 11:45 AM
Penjawat awam ditahan miliki pistol, dadah dalam kereta

KUALA BERANG, 17 MEI: Seorang penjawat awam ditahan selepas didapati memiliki senjata api dan dadah dalam satu rondaan oleh anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu pada 10 Mei lepas

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata lelaki berusia 40-an itu ditahan pada 6.20 petang di tepi jalan Kampung Tok Lawit dekat sini.

"Ketika membuat rondaan di sekitar Kampung Tok Lawit, polis telah menahan sebuah kenderaan pelbagai guna Nissan Grand Livina kerana cukai jalan dan insurans tamat tempoh.

"Bagaimanapun, tingkah laku suspek yang mencurigakan membawa kepada pemeriksaan lanjut yang menemukan pistol, kerambit, gari dan plastik disyaki mengandungi dadah dalam kereta itu," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata saringan air kencing mendapati suspek, yang berasal dari Kelantan, positif dadah jenis metamfetamina selain memiliki rekod jenayah berkaitan kes narkotik, dan siasatan awal mendedahkan dia memperoleh senjata api itu daripada seorang lelaki di Jeli.

Sharudin berkata polis masih menyiasat kegunaan senjata api itu dan reman suspek disambung lima hari membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

"Siasatan turut melibatkan Seksyen 8 Akta Senjata 1960, Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 89 Akta Polis 1967 dan Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.