SUNGAI BULOH, 4 NOV: Google merancang melaksanakan dua lagi projek pemuliharaan air di lembangan Sungai Buloh dan Sungai Selangor bagi meningkatkan kualiti air serta menjamin sumber air negeri.
Ketua Infrastruktur Global Google Asia Pasifik, Ken Siah berkata projek itu merupakan kesinambungan usaha pemuliharaan air pertama syarikat berkenaan di Tasik Taman Aman, Petaling Jaya yang bermula pada 2024.
Menurutnya, projek tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Global Environment Centre bagi menangani masalah pertumbuhan alga yang menjejaskan kualiti air tasik.
Hasil usaha itu, kualiti air Tasik Taman Aman meningkat daripada Kategori D kepada Kategori C, sekali gus menjadikannya lebih sesuai untuk hidupan akuatik dan aktiviti rekreasi seperti memancing.
“Dua projek tambahan ini akan memberi tumpuan kepada lembangan sungai yang turut menghadapi masalah kualiti air, termasuk aliran air permukaan yang membawa bahan pencemar.
“Matlamat kami adalah untuk memulihkan lebih banyak air daripada jumlah yang digunakan,” katanya kepada Media Selangor ketika lawatan media ke pusat data Google di Elmina Business Park, Isnin lalu.
Berdasarkan Kriteria dan Piawaian Kualiti Air Tasik Kebangsaan yang dibangunkan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), Kategori C merujuk kepada tasik yang menyokong pemeliharaan hidupan akuatik dan kepelbagaian biologi.
Kategori D pula merujuk kepada tasik yang diuruskan bagi memastikan tahap minimum pemeliharaan hidupan akuatik yang baik.
Ken berkata Google menggunakan kaedah pengukuran air yang diiktiraf di peringkat antarabangsa bagi menilai jumlah tambahan air yang boleh digunakan selepas usaha pemuliharaan dilaksanakan di sesuatu lembangan sungai.
Menurutnya, penilaian itu turut diaudit oleh pakar hidrologi bebas bagi memastikan usaha berkenaan benar-benar meningkatkan jumlah air yang tersedia dalam persekitaran.
Mengulas penggunaan air di pusat data, Ken menjelaskan Google menggunakan sistem paip tertutup yang mengalirkan air sejuk bagi menyerap haba daripada pelayan komputer.
Katanya, sebahagian air akan tersejat melalui menara penyejuk sebelum kembali ke kitaran air semula jadi.
Beliau berkata kaedah penyejukan menggunakan air dipilih selepas penilaian mendapati Selangor dan Negeri Sembilan tidak berisiko mengalami kekurangan sumber air.
Selain pemuliharaan air, Google turut menyasarkan penambahan lebih satu gigawatt (GW) tenaga bersih ke dalam grid elektrik Semenanjung Malaysia menerusi projek tenaga boleh baharu.
Antaranya termasuk projek tenaga solar di Kedah dengan kerjasama konsortium yang terdiri daripada Shicheng Energy dan syarikat tempatan, Solarvest.
Ken berkata Google turut membayar sepenuhnya bil elektrik kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) tanpa subsidi, pada kadar lebih tinggi berbanding pengguna isi rumah biasa.
“Bayaran itu membolehkan TNB menggunakan hasil yang diterima untuk menaik taraf grid elektrik.
“Kami mahu menjadi rakan yang turut menyumbang kepada pengukuhan grid elektrik,” katanya.
Dari segi kecekapan tenaga, beliau berkata Google melaporkan nilai Keberkesanan Penggunaan Tenaga (PUE) antara 1.12 hingga 1.14 bagi pusat data dalam persekitaran beriklim tropika seperti Malaysia, berbanding purata industri sebanyak 1.54.
Nilai PUE yang semakin hampir kepada 1.0 menunjukkan tahap penggunaan tenaga yang lebih cekap.
Ken berkata Google akan mendedahkan bacaan PUE setiap tiga bulan selepas pusat datanya mula beroperasi, selain melaporkan jumlah penggunaan air tahunan bagi setiap lokasi.







