KUALA LUMPUR, 4 NOV: Pelaburan Google bernilai AS$15 bilion (RM60.9 bilion) di Malaysia dalam tempoh dua tahun akan datang dijangka menjana kira-kira 37,000 peluang pekerjaan setahun sepanjang fasa pembinaan, selain menyumbang purata AS$1.1 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara setiap tahun.
Presiden serta Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet dan Google, Ruth Porat berkata, pelaburan bagi tempoh 2027 hingga 2028 itu meneruskan kehadiran syarikat berkenaan di Malaysia yang sudah menjangkau lebih 15 tahun, selain mencerminkan komitmen untuk menyokong pembangunan infrastruktur digital dan pertumbuhan ekonomi negara.
“Google bekerjasama dengan lebih 80 entiti tempatan dalam bidang pembinaan, kejuruteraan awam, infrastruktur rangkaian, sistem bekalan kuasa dan penyejukan, selain logistik serta perkhidmatan lain.
“Kerjasama itu dijangka berterusan sepanjang tempoh operasi pusat data yang boleh menjangkau beberapa dekad, sekali gus membolehkan pembekal tempatan meningkatkan kepakaran, mengembangkan rantaian nilai serta bersaing di pasaran antarabangsa.
“Google komited untuk mengembangkan kehadiran secara bertanggungjawab, selain memberikan nilai jangka panjang kepada ekonomi dan rakyat Malaysia,” katanya pada acara Mantap Malaysia Bersama AI di Universiti Malaya di sini hari ini.

Porat berkata, fasa pembinaan kampus baharu Google antara 2027 hingga 2028 dijangka menjana purata pendapatan tenaga kerja tahunan sebanyak AS$378 juta, dengan kira-kira 6,000 daripada peluang pekerjaan itu dalam sektor pembinaan.
Apabila mula beroperasi, kemudahan berkenaan dijangka menyokong lebih 9,000 pekerjaan tempatan setiap tahun, dengan purata gaji 45 peratus lebih tinggi berbanding median gaji nasional.
“Google turut menyasarkan untuk meningkatkan kemahiran kira-kira 800,000 rakyat Malaysia antara 2027 hingga 2031 menerusi empat program baharu yang menyasarkan golongan pendidik dan belia, usahawan mikro, penjawat awam serta pencari kerja dalam bidang vokasional,” katanya.

Sementara itu, Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata Malaysia kini memasuki fasa seterusnya dalam transformasi digital, disokong pelaburan dalam pusat data, infrastruktur pengkomputeran kecerdasan buatan (AI) serta industri semikonduktor dan elektronik yang sudah kukuh.
Beliau berkata pelaburan itu akan menjadi asas kepada aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai negara AI menjelang 2030, selain menegaskan kepentingan menterjemahkan pelaburan berkenaan kepada peluang ekonomi jangka panjang untuk rakyat.
“Matlamat kita bukan sekadar membangunkan ekonomi yang menggunakan AI, sebaliknya kita mahu membina ekonomi yang menghasilkan AI.
“Malaysia perlu membangunkan industri dan perkhidmatan sokongan di sekitar pusat pengkomputeran AI, termasuk kejuruteraan termaju, sistem elektrik, teknologi penyejukan, tenaga boleh baharu, keselamatan siber serta tenaga kerja berkemahiran khusus,” katanya.







