Google pilih Puncak Alam, Serendah untuk dua lagi pusat data

4 Nov 2026, 10:00 AM
Google pilih Puncak Alam, Serendah untuk dua lagi pusat data

SUNGAI BULOH, 3 NOV: Google merancang membangunkan dua lagi kompleks pusat data di Selangor bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan (AI).

Ketua Infrastruktur Global Google Asia Pasifik, Ken Siah berkata dua lokasi yang dikenal pasti ialah Eco Business Park di Puncak Alam, Kuala Selangor dan UMV High Value Manufacturing Park di Serendah, Hulu Selangor.

Menurutnya, kedua-dua projek itu masih dalam peringkat perancangan dan akan melengkapkan pusat data Google sedia ada di Elmina Business Park, Sungai Buloh.

Beliau berkata ketiga-tiga lokasi berkenaan akan membentuk rangkaian yang dikenali sebagai 'segitiga strategik' bagi memastikan perkhidmatan digital kepada pengguna dan organisasi di Malaysia dapat diteruskan sekiranya berlaku gangguan.

“Apabila ketiga-tiga pusat data ini beroperasi kelak, ia akan membentuk satu segitiga strategik.

“Sekiranya salah satu pusat data mengalami gangguan sementara, kami boleh memindahkan perkhidmatan ke salah satu daripada dua lokasi lain bagi memastikan pengguna dan organisasi di Malaysia terus mendapat perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor ketika lawatan media ke tapak pusat data Google di Elmina Business Park, di sini.

Ken berkata keputusan Google untuk melabur di Malaysia dibuat sekitar 2022 hingga 2023, sebelum penggunaan AI berkembang pesat seperti sekarang.

Menurutnya, keputusan itu didorong peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan digital seperti Google Search, Maps dan Chrome, selain penggunaan teknologi pembelajaran mesin dalam kalangan syarikat serta organisasi.

Google mengumumkan rancangan membangunkan pusat data di Malaysia pada Mei 2024 sebelum memulakan pembinaan pada Oktober tahun sama.

Sebelum memilih Selangor, syarikat teknologi itu turut menilai beberapa lokasi lain termasuk Johor dan Cyberjaya.

Ken berkata Selangor menjadi pilihan kerana ketika itu masih mempunyai banyak kawasan yang belum dibangunkan sebagai pusat data, selain membolehkan syarikat menilai kesan operasi terhadap bekalan elektrik setempat.

“Ketika menilai sesuatu lokasi, kami sentiasa melihat kesan pembinaan pusat data terhadap sistem bekalan elektrik di kawasan berkenaan.

“Pembinaan pusat data di Malaysia juga penting bagi memenuhi keperluan penyimpanan data dalam negara, khususnya sektor perbankan dan kerajaan yang menetapkan data tertentu mesti disimpan di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata pusat data tempatan turut membolehkan perkhidmatan digital beroperasi dengan lebih pantas, terutama bagi teknologi seperti kilang pintar, sistem trafik pintar dan robotik.

Kemudahan itu juga dapat membantu aplikasi AI yang dibangunkan di Malaysia berkembang daripada projek percubaan kecil kepada perkhidmatan yang mampu digunakan jutaan pengguna.

Mengulas pemilihan Elmina Business Park sebagai lokasi pertama, Ken berkata kawasan itu memenuhi keperluan operasi Google kerana dikhaskan untuk aktiviti industri dan terletak jauh dari kawasan perumahan.

Katanya, kawasan berkenaan turut dilengkapi kemudahan mesra alam termasuk panel solar dan sistem pengumpulan air hujan.

Dalam pada itu, pelaburan Google dijangka membuka peluang perniagaan kepada syarikat tempatan dalam sektor pembinaan, logistik, keselamatan, pengurusan sisa dan perkhidmatan sokongan operasi.

“Kami bukan membina pusat data di Malaysia kerana tidak boleh membinanya di negara lain.

“Kami memilih Malaysia kerana melihat permintaan yang sangat tinggi terhadap perkhidmatan digital di negara ini dan rantau Asia Pasifik,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.