Faktor pemudah cara dorong Google pilih Selangor buka pusat data

20 Ogos 2026, 6:00 AM
Faktor pemudah cara dorong Google pilih Selangor buka pusat data
Faktor pemudah cara dorong Google pilih Selangor buka pusat data

KUALA LUMPUR, 20 OGOS: Google memilih Selangor sebagai lokasi pusat data pertama di Malaysia ekoran amalan pendekatan memudah cara dan persekitaran negeri yang kondusif.

Prinsipal Infrastruktur Global Google Asia Pasifik, Ken Siah menjelaskan kerjasama dan sokongan Invest Selangor Bhd iaitu agensi pelaburan negeri, sebagai contoh terbaik.

“Kerjasama dengan Invest Selangor sangat membina dan memudah cara. Antara sebab kami melabur di Selangor adalah kerana kami melihat pendekatan di mana kami boleh bekerjasama demi manfaat ekonomi dan komuniti tempatan,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau juga memberitahu pemilihan kawasan berkenaan melalui proses ketat termasuk mengenal pasti lokasi yang boleh dibangunkan tanpa menjejaskan sumber masyarakat tempatan.

“Kami menjalankan banyak analisis dan kajian saintifik untuk memastikan bahawa apabila kami memasuki sesuatu lokasi, kami dapat melindungi sumbernya, menjalin kerjasama dengan komuniti setempat, serta menyokong ekonomi tempatan secara positif,” katanya.

Beliau berkata pemilihan lokasi dibuat lama sebelum keputusan pelaburan termasuk penilaian alam sekitar merangkumi faktor kapasiti grid elektrik, tadahan air dan ekologi tempatan.

Katanya, Google juga membuat penilaian risiko air berdasarkan data sejarah bagi menentukan lokasi itu menyokong operasi pusat data tanpa memberi tekanan kepada sumber air tempatan.

“Jika kami mendapati penilaian tersebut akan wujud impak buruk yang tidak dapat dimitigasi oleh pembangunan pusat data, maka keputusannya amat mudah: kami tidak akan pergi ke situ.

“Kami perlu menjalankan semua ujian terlebih dahulu sebelum menentukan sama ada kami selesa melabur dalam pusat data melalui cara yang melindungi sumber komuniti setempat,” katanya.

Menurut Siah, pertimbangan faktor komuniti juga penting dalam penilaian ekoran Google mahu memahami keperluan masyarakat setempat lantaran operasi Google berbentuk jangka panjang.

“Akan ada penilaian dan perbincangan bersama ahli komuniti termasuk juruwarta, keperluan komuniti, perkara yang boleh kami bantu untuk menyokong mereka,” katanya.

Beliau menjelaskan Google sentiasa menganggap masyarakat sekeliling sebagai jiran, bukannya sekadar penempatan operasi pusat data lantaran pelaburan mereka bersifat jangka panjang.

Justeru, Google menubuhkan Future Skills for All dengan kerjasama Arus Academy bagi mengajar murid mengenai pengaturcaraan dan melengkapkan mereka kemahiran asas bagi ekonomi digital.

Beliau berkata mereka membuat latihan, bengkel kemahiran dan perlawanan godam (hackathon) pelayan untuk pencari kerja dan pelajar supaya mereka memperoleh pendedahan praktikal sebelum menceburi industri pusat data.

Google turut memastikan golongan kurang bernasib baik mengambil bahagian dalam peluang ekonomi termasuk bekerjasama dengan Souls Foundation yang melibatkan perkampungan Orang Asli.

“Kami mahu berinteraksi dan memastikan komuniti yang paling kurang bernasib baik dan terpinggir di kawasan sekitar tidak ketinggalan daripada pertumbuhan ini,” kata Siah.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.