Premis sembelihan ayam di Puchong disyaki dikendalikan lebih satu syarikat

3 Nov 2026, 12:20 PM
Premis sembelihan ayam di Puchong disyaki dikendalikan lebih satu syarikat

SHAH ALAM, 3 NOV: Premis penyembelihan ayam di Puchong yang disyaki tidak mematuhi hukum syarak dan diserbu Jumaat lalu, dipercayai dikendalikan lebih daripada satu syarikat atau entiti.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata maklumat itu diperoleh daripada individu yang ditahan dalam kes tersebut.

Beliau berkata JAIS kini sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada pejabat daerah dan tanah tentang pemilik sebenar premis dan pemilik syarikat yang didaftarkan di alamat tersebut.

“Oleh itu, pihak JAIS masih belum dapat memaklumkan berhubung individu atau syarikat yang terlibat dengan kes ini kepada orang awam. JAIS akan segera memaklumkan perkara ini selepas maklumat sahih diperoleh,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata ketika serbuan dilakukan pada 30 Oktober lalu, terdapat 12 individu dipercayai pekerja warga Bangladesh dan Pakistan sedang melakukan penyembelihan ayam secara tidak patuh syarak.

“Sembelihan itu dilakukan selepas ayam tersebut mati, apabila melalui proses renjatan air berarus elektrik melebihi kadar voltan yang dibenarkan.

“Premis diserbu didapati tidak mempunyai apa-apa papan tanda atau keterangan lainnya mengenai maklumat perniagaan atau nama syarikat yang boleh dirujuk mengenai aktiviti yang berjalan di premis,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shahzihan mengesahkan bahawa premis tersebut tidak mempunyai sebarang rekod yang boleh dirujuk tentang permohonan pensijilan halal dan juga tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

“Rekod di JAIS juga menunjukkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tidak pernah mengeluarkan perakuan penyembelih untuk sembelihan yang dilaksanakan di premis itu,” katanya.

Kes itu disiasat di bawah Perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 dan Seksyen 121F Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Dalam pada itu, JAIS mahu semua pihak penyedia makanan bermasak, pemilik restoran dan masyarakat Islam agar mendapatkan bekalan ayam daripada pembekal yang mempunyai pensijilan halal dan juga mempunyai tauliah sembelihan halal berdasarkan undang-undang yang berkuat kuasa.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.