SHAH ALAM, 27 JUN: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menafikan pihak Masjid Nurul Hidayah menjadi penyebab kelewatan urusan pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana yang tular Khamis lalu.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata kelewatan itu berlaku kerana kekeliruan pihak waris yang telah menyerahkan sepenuhnya urusan pengebumian kepada Badan Kebajikan Salatulrahim (BKS) yang tiada hubungan dengan pihak masjid.
Berikut kenyataan penuh pengarah JAIS:
Jabatan Agama Islam Selangor merujuk kepada hantaran di akaun Facebook, Mr Wan Chai Official berkaitan dengan kelewatan pengurusan pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Islam, Ukay Perdana, Hulu Kelang yang tular pada 25 Jun 2026.
Hasil siasatan dan semakan pihak JAIS mendapati jenazah tersebut merupakan ahli kariah Masjid Nurul Hidayah, Kampung Pandan Dalam dan telah meninggal dunia pada 25 Jun 2026 pada pukul 6.22 pagi. Di peringkat awal, waris telah berurusan dengan Badan Kebajikan Salatulrahim (BKS) yang tidak mempunyai kaitan dengan pihak masjid bagi tujuan pengebumian jenazah dan waris berhasrat untuk mengebumikan jenazah di tanah perkuburan di lokasi Tanah Perkuburan Islam, Ukay Perdana yang terletak di bawah seliaan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
Bapa kepada si mati hanya berjumpa dengan Pembantu Pengurus Masjid Nurul Hidayah pada pukul 10.30 pagi untuk mendapatkan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam yang diperlukan bagi membolehkan jenazah dikebumikan di lokasi tersebut. Bapa si mati juga telah bersetuju agar pihak masjid yang mengambil alih daripada BKS untuk meneruskan urusan pengebumian jenazah.
Pihak masjid telah mengeluarkan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam tersebut pada pukul 11.15 pagi setelah menerima Daftar Kematian yang asal. Pihak masjid juga dimaklumkan bahawa datuk si mati berkeras untuk jenazah diuruskan oleh BKS. Mengambil kira kemungkinan berlaku kekecohan di tempat pengurusan jenazah, pihak masjid telah meminta bantuan pihak polis untuk bersama pihak masjid ke tempat pengurusan jenazah.
Semasa pihak masjid tiba di tempat pengurusan jenazah di Surau An-Nur, Taman Cempaka, pihak masjid dimaklumkan bahawa jenazah telah dibawa ke tanah perkuburan Islam oleh pihak BKS dalam keadaan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam dan Daftar Kematian si mati masih berada dalam pegangan pihak masjid.
Oleh kerana waris terus membawa jenazah ke tanah perkuburan tanpa kedua-dua dokumen yang sah, urusan pengebumian jenazah tidak dapat diselesaikan sehinggalah pihak masjid dihubungi oleh Pengurusan Tanah Perkuburan Islam, Ukay Perdana yang memaklumkan bahawa jenazah telah berada di liang lahad.
Pihak masjid kemudiannya telah membawa dokumen yang sah tersebut ke tanah perkuburan untuk membolehkan pengebumian tersebut disempurnakan.
Pihak masjid juga mendapati bahawa Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam yang dikemukakan oleh waris kepada pengurusan kubur yang membolehkan keberadaan jenazah di liang lahad didapati palsu. Oleh itu, satu laporan polis telah dibuat berkaitan pemalsuan dokumen tersebut pada 26 Jun 2026.
JAIS menafikan kelewatan disebabkan pihak masjid sebaliknya kelewatan ini berlaku kerana kekeliruan pihak waris yang telah menyerahkan sepenuhnya urusan pengebumian kepada BKS yang tiada hubungan dengan pihak masjid. JAIS juga menafikan bahawa pihak masjid pada masa itu telah menuntut bayaran RM1,400 daripada waris bagi membolehkan jenazah diuruskan.
Justeru, JAIS menasihatkan masyarakat Islam untuk merujuk terus kepada pihak pengurusan masjid di kariah masing-masing bagi urusan pengebumian jenazah untuk memastikan urusan pengebumian dapat dilaksanakan secara teratur dan mengelak berlaku kelewatan pengebumian seperti dalam kes di video yg tular. Pihak JAIS juga menegaskan pendirian bahawa pengurusan jenazah orang Islam hendaklah disegerakan dan tidak dilengahkan disebabkan kepentingan peribadi pihak tertentu.





