JAIS teliti tapisan keselamatan lebih ketat untuk guru sekolah agama

22 Ogos 2026, 6:30 AM
JAIS teliti tapisan keselamatan lebih ketat untuk guru sekolah agama
JAIS teliti tapisan keselamatan lebih ketat untuk guru sekolah agama

SHAH ALAM, 22 OGOS: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sedang meneliti langkah memperketat tapisan keselamatan terhadap guru sekolah agama berdaftar, termasuk cadangan mendapatkan semakan rekod jenayah sebelum mereka dibenarkan mengajar.

Pengarahnya, Dato' Mohd Shahzihan Ahmad berkata cadangan itu akan dibincangkan menerusi Jawatankuasa Pendaftar Sekolah-Sekolah, termasuk mendapatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi melaksanakan proses saringan berkenaan.

Menurut beliau, antara syarat yang akan dipertimbangkan ialah keperluan mendapatkan ulasan pihak polis terhadap setiap guru sebagai sebahagian daripada proses tapisan keselamatan.

"Kita akan panggil mesyuarat Jawatankuasa Pendaftar Sekolah-Sekolah. Antara yang mungkin disyaratkan ialah semua guru mesti mendapat ulasan daripada pihak polis.

"Perlu ada tapisan keselamatan terlebih dahulu dan perkara ini kita akan bincangkan dengan polis," katanya.

Pengarah JAIS Dato' Mohd Shahzihan Ahmad bercakap kepada media selepas Majlis Perasmian Penutup Kursus Persediaan Pelajar Selangor ke Luar Negara (Timur Tengah) 2026 di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Masjid Negeri, Shah Alam pada 22 Ogos 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Penutupan Kursus Persediaan Pelajar Negeri Selangor ke Luar Negara (Timur Tengah) 2026 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Mohd Shahzihan berkata JAIS turut akan memperkemas tatakelola sekolah bagi meningkatkan perlindungan terhadap pelajar serta mengurangkan risiko salah laku dalam kalangan warga sekolah.

Menurutnya, setiap sekolah perlu mempunyai garis panduan yang jelas mengenai batas interaksi antara guru dan pelajar, termasuk mengelakkan layanan istimewa, pertemuan pada waktu yang tidak sesuai serta sesi pembelajaran atau hafalan di lokasi sunyi tanpa pemantauan.

"Kita mahu ada satu cara dan tatakelola bagaimana untuk menyedarkan anak-anak supaya dapat menghindari perbuatan yang boleh membawa kepada perkara sedemikian, sama ada daripada kalangan guru atau pelajar sendiri.

"Guru tidak boleh memberi layanan yang sangat istimewa, berjumpa pada waktu yang tidak lazim atau mengadakan sesi hafalan di tempat sunyi dan pada waktu tanpa pemantauan," tegasnya.

Mengulas kes amang seksual yang dipercayai membabitkan seorang guru sekolah agama swasta berdaftar di daerah Gombak, beliau berkata siasatan kini dijalankan pihak polis, manakala JAIS akan mengambil tindakan lanjut berdasarkan hasil siasatan tersebut.

Beliau berkata, guru berusia lingkungan 30-an itu telah dihentikan daripada mengajar dan dipercayai baru berkhidmat di sekolah berkenaan kurang daripada setahun.

"Guru sepatutnya menjadi pembela, penaung dan menjaga keselamatan anak-anak, tetapi tiba-tiba menjadi individu yang melakukan perkara sangat tidak bermoral, tidak berakhlak dan tidak beretika," katanya.

Terdahulu, media tempatan melaporkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sedang menunggu hasil siasatan polis sebelum menentukan tindakan susulan berhubung kes berkenaan.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.