Karnival Agensi Islam Selangor Kuala Langat meriah, JAIS hasrat jadikan acara tahunan

11 Jul 2026, 3:00 AM
Karnival Agensi Islam Selangor Kuala Langat meriah, JAIS hasrat jadikan acara tahunan
Karnival Agensi Islam Selangor Kuala Langat meriah, JAIS hasrat jadikan acara tahunan
Karnival Agensi Islam Selangor Kuala Langat meriah, JAIS hasrat jadikan acara tahunan
Karnival Agensi Islam Selangor Kuala Langat meriah, JAIS hasrat jadikan acara tahunan

KUALA LANGAT, 11 JULAI: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mempertimbangkan menjadikan Karnival Agensi Islam Selangor acara tahunan susulan sambutan lebih 2,000 pengunjung pada penganjuran Zon 3 di Masjid Jamek As Solihin Kampung Kanchong Darat, di sini, malam tadi.

Pengarahnya, Dato' Mohd Shahzihan Ahmad berkata penganjuran secara berkala mampu membantu agensi Islam mendekati masyarakat dengan lebih berkesan menerusi pelbagai pengisian yang bersifat pendidikan dan kekeluargaan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Dato' Mohd Shahzihan Ahmad berucap ketika majlis perasmian Karnival Agensi Islam Selangor 2026 di Masjid As-Solihin, Kuala Langat pada 10 Julai 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

"Insya-Allah. Pada peringkat awal, saya bercadang supaya setiap pejabat agama mengadakan hari bersama pelanggan. Namun timbul cadangan untuk kita anjurkan karnival kerana program seperti ini belum pernah diadakan.

"Kalau kita buat karnival, pengisiannya mestilah mampu membina kesedaran, meningkatkan kefahaman dan memperkasa kemahiran. Pada masa sama, masyarakat dapat merasai pengalaman berinteraksi secara lebih dekat dengan agensi Islam," katanya kepada Media Selangor.

Terdahulu, beliau menyempurnakan perasmian karnival berkenaan yang menghimpunkan pelbagai agensi Islam negeri.

Program yang bermula pada jam 9 malam itu dimeriahkan dengan persembahan kumpulan nasyid terkenal In-Team serta Forum Perdana Hal Ehwal Islam bertajuk 'Penjelasan Fahaman Aurad Muhammadiyah'.

Persembahan kumpulan nasyid In-Team ketika majlis perasmian Karnival Agensi Islam Selangor 2026 di Masjid As-Solihin, Kuala Langat pada 10 Julai 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Mengulas sambutan di Kuala Langat, Mohd Shahzihan berkata kehadiran orang ramai yang memberangsangkan mencerminkan semangat kebersamaan dan kesatuan ummah yang kukuh dalam kalangan masyarakat luar bandar.

"Suasana di bandar dan kampung berbeza. Masyarakat di kampung lebih teruja dengan program seperti ini. Sebab itu kita lihat sambutannya lebih meriah dan pegawai yang terlibat juga lebih bersemangat," katanya.

Orang ramai hadir bersama keluarga bagi memeriahkan Karnival Agensi Islam Selangor 2026 di Masjid Jamek As-Solihin, Kampung Kanchong Darat, Kuala Langat pada 10 Julai 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Karnival Agensi Islam Selangor 2026 yang julung kali diperkenalkan tahun ini sebelum ini telah diadakan di Gombak dan Kuala Selangor, sebelum diteruskan ke enam lagi zon dalam tempoh enam bulan akan datang.

Berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat hingga esok, program itu menawarkan pelbagai aktiviti termasuk reruai pameran agensi, jualan produk Muslim, Zikir Walk, Malam Kesenian Islam dan petting zoo.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.