Jerebu: Sekolah agama di tiga daerah Selangor kekal tutup esok

11 Okt 2026, 12:48 PM
Jerebu: Sekolah agama di tiga daerah Selangor kekal tutup esok

SHAH ALAM, 11 OKT: Sekolah Agama Negeri (SAN) di daerah Hulu Langat, Gombak dan Zon Petaling Perdana kekal ditutup esok susulan perkembangan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) akibat jerebu.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata penutupan itu berkuat kuasa sehingga dimaklumkan kelak.

Menurutnya, bagi Zon Petaling Perdana, penutupan hanya melibatkan sekolah di Shah Alam (Seksyen 1 hingga 28), Subang Jaya, USJ, Subang Bestari, Kampung Melayu Subang, Puchong, Bandar Kinrara, Seri Kembangan, Bukit Jelutong, Taman Sri Muda dan Putra Heights.

“Manakala, SAN di Gombak adalah termasuk penutupan sekolah di Sungai Buloh.

“SAN di daerah dan zon lain akan beroperasi seperti biasa bermula esok (12 Oktober),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut meminta Sekolah Islam Persendirian (SIP) di daerah dan kawasan terlibat supaya mengikuti ketetapan penutupan berkenaan.

Dalam pada itu, Mohd Shahzihan menasihatkan guru dan pelajar yang kembali ke sekolah supaya memakai pelitup separuh muka serta mengurangkan aktiviti luar bilik darjah sebagai langkah berjaga-jaga.

Menurutnya, pelajar yang mengalami keletihan serius perlu diawasi dengan rapi oleh pihak sekolah.

"Warga sekolah serta ibu bapa dan penjaga turut dinasihatkan supaya sentiasa mengikuti maklumat rasmi pihak berkuasa berkaitan perkembangan kualiti udara dan arahan operasi sekolah.

"Orang ramai juga diingatkan supaya tidak membuat sebarang andaian mengenai pembukaan semula sekolah," katanya.

Tambah beliau, sebarang perkembangan lanjut berhubung operasi dan pembukaan semula sekolah akan diumumkan menerusi saluran rasmi JAIS dari semasa ke semasa.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.