SHAH ALAM, 23 JULAI: Kerajaan Negeri akan membina sebuah kolam takungan baharu menggunakan teknologi dari Jerman berhampiran Medan Selera 223 di Seksyen 51A, Petaling Jaya bagi mengatasi masalah banjir kilat yang kerap melanda kawasan itu.
EXCO Infrastruktur Dato' Ir Izham Hashim berkata projek bernilai RM4.55 juta itu dijadualkan bermula dalam tempoh dua minggu dan dijangka siap sebelum hujung tahun ini.
Menurut beliau, kolam takungan tersebut menggunakan kaedah 'eco block' yang mampu menyimpan kapasiti air yang tinggi dalam ruang lebih kecil, sekali gus menjadi projek kedua menggunakan teknologi itu di Selangor selepas pelaksanaannya di Hulu Selangor.
“Kolam takungan bernilai RM4.55 juta berkenaan akan mula dibina dalam tempoh dua minggu ini dan dijangka siap sebelum akhir tahun ini.
“Ia dijangka mampu menampung 3,200 meter padu air untuk membantu mengurangkan masalah banjir kilat di medan selera tersebut,” katanya pada sidang media.
Beliau ditemui di pejabatnya di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, yang turut dihadiri Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohamad Zahri Samingon, hari ini.

Dalam pada itu, Izham menjelaskan, banjir kilat yang berlaku di Medan Selera 223 bukan berpunca sepenuhnya daripada pembangunan yang sedang dilaksanakan pemaju di lokasi berhampiran.
Menurutnya, insiden itu turut disumbangkan oleh faktor hujan lebat berterusan akibat perubahan iklim sehingga menyebabkan saliran longkang di kawasan berkenaan tidak mampu menampung kapasiti air yang tinggi.
“Ada struktur yang ganggu tetapi itu bukan punca besar. Apabila ada pembangunan dan perubahan iklim, tempat yang tidak banjir akan jadi banjir. Hujan sangat lebat ketika itu,” katanya.
Minggu lalu, Medan Selera 223 dilanda banjir kilat kali ketiga, selepas insiden sama melanda kawasan terbabit pada April dan Mei lalu.
Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebelum ini memaklumkan kejadian berkenaan berpunca daripada taburan hujan melebihi 60 milimeter dalam tempoh singkat dari kawasan hulu di Kuala Lumpur.
Hujan luar biasa itu menyebabkan Sungai Penchala gagal menampung aliran air, selain berlaku aliran balik dari Sungai Klang yang mencapai kapasiti maksimum.








