SHAH ALAM, 21 SEPT: Kolam takungan bernilai kira-kira RM15 juta yang dirancang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bakal menjadi penyelesaian jangka panjang bagi menangani kejadian banjir kilat berulang di sekitar Jalan Kolam Air Lama, Ampang Jaya.
Ahli Dewan Negeri Bukit Antarabangsa, Mohd Kamri Kamaruddin berkata projek berkenaan bertujuan memperlahankan aliran air dari kawasan berbukit sebelum disalurkan ke sistem perparitan di kawasan lebih rendah.

“Ini penyelesaian jangka panjang, yang penting sekarang kita perlu ada satu kolam takungan air di bahagian atas untuk memperlahankan aliran air turun ke bawah.
“Saya dimaklumkan bajet yang disediakan lebih kurang RM15 juta. Projek itu memang dalam perancangan JPS dan telah diluluskan, cuma belum dimulakan,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.
Menurutnya, masalah banjir di kawasan berkenaan sudah berlarutan sejak sekian lama dan beberapa langkah jangka pendek termasuk kerja pelebaran longkang telah dilaksanakan sebelum ini.
Bagaimanapun, keadaan menjadi lebih serius susulan hujan lebat semalam apabila hampir 30 premis termasuk kediaman dan rumah kedai terjejas, berbanding sekitar 10 rumah yang lazimnya dilanda banjir sebelum ini.
“Kejadian semalam lebih besar daripada biasa. Jumlah hujan yang turun sangat lebat dan bukan kawasan ini sahaja mengalami banjir.
“Di kawasan ini pula terdapat dua aliran air yang bertembung menyebabkan sistem perparitan tidak dapat menampung jumlah air yang banyak,” katanya.
Susulan kejadian itu, Kamri turun meninjau kawasan terjejas dan bertemu penduduk selain meminta Pejabat Daerah dan Tanah serta Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menyediakan tenaga kerja bagi membantu kerja pembersihan.
Katanya, banyak kerosakan melibatkan barangan elektrik dan kenderaan penduduk, justeru kerja pembersihan perlu disegerakan bagi membantu mereka kembali ke kediaman dan premis masing-masing.
“Saya juga minta pihak terbabit mendapatkan data lengkap dan mangsa membuat laporan polis supaya kita boleh lihat bantuan yang boleh disampaikan,” katanya.
Beliau turut mendapatkan bantuan peralatan dan tenaga kerja daripada KDEB Waste Management (KDEBWM) bagi mempercepatkan kerja pembersihan di kawasan terjejas.
Pada masa sama, Kamri berkata paip utiliti yang melintasi longkang perlu dialihkan bagi mengelakkan sampah dan kayu tersangkut sehingga menghalang kelancaran aliran air.
Katanya, penyelenggaraan sistem perparitan juga perlu dipertingkat bagi memastikan kapasiti longkang tidak terjejas akibat mendapan tanah dan sampah.
“Saya juga sudah arahkan MPAJ melaksanakan pembersihan secara berkala dan berjadual terhadap longkang monsun di kawasan berkenaan,” katanya.
Dalam kejadian semalam, paras air di sekitar Jalan Kolam Air Lama dilaporkan meningkat sehingga ke paras pinggang dalam tempoh kurang dua minit, menyebabkan beberapa kediaman dan premis dinaiki air serta mengakibatkan kerosakan harta benda.









