SHAH ALAM, 3 NOV: Seorang lelaki berusia 21 tahun yang dipercayai menyertai ritual keagamaan bukan Islam akan didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Kuang, Rawang, esok.
Jurucakap Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memaklumkan pertuduhan terhadap lelaki terbabit dijadualkan berlangsung jam 10 pagi mengikut Seksyen 4 (Pemujaan Salah) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
“Pertuduhan akan dibuat mengikut Seksyen 4 (Pemujaan Salah) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995,” katanya seperti dilaporkan Kosmo! hari ini.
Difahamkan, Majlis Pengisytiharan Taubat (Istitabah) membabitkan lelaki berkenaan turut dijadualkan berlangsung Khamis ini.
Pada 13 Oktober lalu, lelaki terbabit bersama ibunya berusia 52 tahun ditahan selepas hadir di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Kuala Lumpur.
Penahanan dilaksanakan JAWI menerusi waran tangkap bersaling yang dikeluarkan Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam.
Sebelum ini, tular video didakwa memaparkan individu beragama Islam menyertai ritual keagamaan bukan Islam sehingga mencetuskan siasatan pihak berkuasa agama.
Susulan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyelaras tindakan bersama pihak berkuasa agama negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala JAIS membuka siasatan mengikut Seksyen 10 enakmen sama.







