SHAH ALAM, 2 NOV: Seorang jurukimpal dihukum penjara enam tahun dan dua sebatan selepas mengaku bersalah merogol kenalan bawah umur di kawasan hutan berhampiran Tangkak, Johor, bulan lalu.
Tertuduh, Herwan Abdul Rani, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Emelia Kaswati Mohamad Khalid, di Muar hari ini, lapor BH Online.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani pengawasan polis selama setahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa yang merupakan pelajar Tingkatan Dua di kawasan hutan berhampiran Taman Kesang Bayu, Tangkak, antara 12 tengah malam hingga 1.30 pagi, 23 Oktober lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Tasnim Saleh, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, polis menerima laporan daripada ibu mangsa berhubung dakwaan anak perempuannya dirogol oleh lelaki yang dikenalinya.
Siasatan awal mendapati mangsa dan tertuduh saling mengenali kira-kira sebulan sebelum kejadian.







